
PETALING JAYA: Empat anggota polis direman seminggu mulai hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM12,000 bagi menyeludup barang terlarang, termasuk dadah ke dalam lokap tiga tahun lalu.
Berita Harian melaporkan perintah reman itu dikeluarkan oleh majistret Mazana Sinin, selepas membenarkan permohonan Pegawai Penyiasat Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdullah Fahmy [email protected] bagi melengkapkan siasatan kes.
Empat suspek berpangkat koperal dan lans koperal berusia 35 hingga 40 tahun itu bertugas di sebuah balai polis di Alor Gajah, Melaka.
Mereka disiasat bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009 atas dakwaan membawa masuk barang terlarang seperti rokok, dadah, tembakau dan makanan kepada tahanan di lokap balai mereka bertugas dan dikatakan menerima upah antara RM600 hingga RM9,000 melalui kira-kira 20 transaksi dari 2019 hingga 2020.
Mereka ditahan di pejabat SPRM Melaka petang semalam ketika hadir membantu siasatan.
