Bekalan ayam, daging di Sabah cukup menjelang Aidilfitri

6 Mar 2026 • 11:34 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
DVS Sabah komited memastikan kestabilan bekalan protein berasaskan ayam serta daging lembu dan kerbau mencukupi bagi menampung permintaan semasa sambutan Aidilfitri.

KOTA KINABALU - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah memberi jaminan bekalan ayam serta daging lembu dan kerbau mencukupi untuk menampung permintaan semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri di negeri ini.

Pengarah Perkhidmatan Veterinar Sabah, Dr Zul Bahar Abdul Rashid berkata, DVS Sabah komited memastikan kestabilan bekalan protein berasaskan ayam serta daging lembu dan kerbau mencukupi bagi menampung permintaan semasa sambutan perayaan itu.

"Berdasarkan unjuran jabatan bagi tempoh lima bulan pertama tahun 2026, pengeluaran tempatan bagi daging ayam dianggarkan mencecah 29,916.65 tan metrik, manakala daging ruminan (lembu dan kerbau) sebanyak 3,185 tan metrik.

"Sebagai langkah proaktif bagi menampung sebarang peningkatan permintaan ayam bulat dalam tempoh perayaan, pihak jabatan telah membenarkan kemasukan import ayam bulat seawal bulan Disember 2025 bagi memastikan bekalan di pasaran sentiasa mencukupi dan stabil untuk keperluan rakyat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun, Zul Bahar berkata, DVS akan terus memantau perkembangan bekalan dan permintaan semasa bagi memastikan kestabilan bekalan makanan serta kelangsungan industri ternakan di negeri ini sentiasa terjamin.

Sementara itu, dalam kenyataan sama DVS turut mengesahkan tiada sitaan dibuat terhadap produk hasilan haiwan sejuk beku yang dilaporkan dirampas di sebuah gudang di Penampang pada Selasa lalu.

"DVS ingin memaklumkan bahawa tiada sitaan dibuat terhadap sebanyak 542,519.16 kilogram produk tersebut di bawah Enakmen Haiwan 2015 kerana kesemuanya mempunyai lesen import yang sah," jelasnya.