Bekalan Ayam, Telur Mencukupi Sepanjang Ramadan, Aidilfitri 

31 Mar 2023 • 9:04 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pengeluar ayam dan telur menerusi FLFAM telah memberi jaminan bahawa bekalan ayam dan telur ayam adalah mencukupi sepanjang Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri. - Gambar oleh Sairien Nafis

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan ayam dan telur ayam mencukupi di pasaran sepanjang Ramadan dan menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Jurucakap KPDN memaklumkan, satu sesi libat urus bersama telah diadakan dengan beberapa pihak bagi memastikan isu bekalan dan harga bahan mentah itu dapat ditangani secara holistik.

Menurut beliau, pihak terbabit termasuk Kementerian Kewangan (MoF), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan pengeluar yang diwakili Persekutuan Persatuan Penternak-Penternak Malaysia (FLFAM).

image is not available
KPDN memaklumkan sebanyak 183,047 pemeriksaan dijalankan terhadap peniaga bekalan ayam dan telur dengan 2,711 daripadanya didapati menjual melebihi harga kawalan, kegagalan mematuhi penandaan harga serta kesalahan lain. - Gambar fail

“FLFAM memberi jaminan bekalan ayam dan telur ayam adalah mencukupi sepanjang bulan Ramadan dan menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Pengeluar juga menyatakan komitmen bahawa mereka akan bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan bagi menangani isu gangguan bekalan ayam dan telur dengan menyalurkan segera bekalan ke mana-mana lokaliti terjejas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, KPDN memaklumkan sebanyak 183,047 pemeriksaan dijalankan terhadap peniaga bekalan ayam dan telur dengan 2,711 daripadanya didapati menjual melebihi harga kawalan, kegagalan mematuhi penandaan harga serta kesalahan lain.

Justeru, katanya, pengguna turut digalakkan menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dengan menyalurkan maklumat serta aduan yang lengkap berhubung ketidakpatuhan dalam penyaluran bekalan berkenaan.

“KPDN komited untuk terus membantu rakyat dalam mengurangkan beban akibat peningkatan kos sara hidup dan menangani isu kenaikan harga barang yang tidak munasabah.

“KPDN juga akan terus melaksanakan pelbagai kaedah bagi memastikan pengguna berada dalam keadaan selesa sepanjang sambutan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya. - Getaran, 31 Mac 2023