
KUALA LUMPUR: Bekalan keperluan asas seperti makanan dan minuman dalam negara adalah mencukupi bagi tempoh enam bulan akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, situasi semasa belum sampai ke tahap darurat sehingga menyebabkan negara perlu mengambil langkah kontingensi.
Beliau berkata, pihak kerajaan sentiasa bersedia berdepan sebarang situasi kecemasan dan melakukan persediaan secukupnya.
“Kita tidak nampak adanya keperluan ke arah itu sebab daripada segi keterjaminan makanan dan tahap simpanan itu mencukupi.
“Kita tahu sekurang-kurangnya kita mempunyai kapasiti selama enam bulan, sekurang-kurangnya daripada segi keterjaminan makanan.
“Kerajaan telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan keperluan asas rakyat di Malaysia, termasuk daripada segi barangan keperluan ini mencukupi dan kita tidak berada dalam keadaan darurat. Insha Allah jauh daripada keadaan darurat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Kerjasama Malaysia-China dalam Pelaburan, Perdagangan dan Pemerkasaan Ekonomi di Pavilion Hotel, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara mengulas laporan media antarabangsa mengenai 33 negara dikenal pasti mengeluarkan panduan menggalakkan rakyat menyimpan bekalan makanan, air minuman dan barangan keperluan asas bagi menghadapi kemungkinan kecemasan.
Langkah tersebut diambil ketika dunia berdepan pelbagai ancaman termasuk peperangan, cuaca ekstrem, gangguan bekalan elektrik dan serangan siber.
Antara negara yang memperkukuh kempen kesiapsiagaan ialah Perancis dan United Kingdom (UK) yang menyarankan penduduk menyediakan bekalan mencukupi untuk sekurang-kurangnya 72 jam atau tiga hari. – UTUSAN
The post Bekalan makanan negara mencukupi, belum sampai tahap darurat appeared first on Utusan Malaysia.





