Bekalan minyak sawit naik mendadak selepas susut 3 bulan cetus kebimbangan penganalisis

LocalBusiness & Finance
12 May 2026 • 9:15 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bekalan minyak sawit naik mendadak selepas susut 3 bulan cetus kebimbangan penganalisis Image from: Bekalan minyak sawit naik mendadak selepas susut 3 bulan cetus kebimbangan penganalisis amree12/05/2026 - 09:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Mei — Kenaikan semula inventori minyak sawit Malaysia pada April 2026 mengejutkan pasaran apabila stok meningkat selepas tiga bulan berturut-turut mencatatkan penyusutan yang ketara.


Situasi lonjakan mendadak berkenaan sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penganalisis terhadap tekanan harga minyak sawit mentah (MSM) dalam tempoh jangka pendek di pasaran tempatan.


Firma penyelidikan namun masih mengekalkan pandangan positif terhadap sektor perladangan berikutan jangkaan sokongan struktur harga MSM yang dijangka berterusan sehingga separuh kedua tahun ini.


Menurut Public Investment Bank (PublicInvest), inventori meningkat 1.7% bulan ke bulan (MoM) kepada 2.3 juta tan metrik pada April, didorong kelemahan eksport walaupun pengeluaran bertambah baik.


“Eksport minyak sawit merosot 14.3% MoM kepada 1.3 juta tan metrik, disebabkan permintaan lebih lemah dari China, Kesatuan Eropah (EU) dan rantau Timur Tengah,” katanya dalam nota analisis.

 
Sehubungan itu jelas firma berkenaan, nisbah stok kepada penggunaan turut meningkat kepada 11.5% berbanding 10.1% pada bulan sebelumnya, selain naik ketara susulan pemulihan produktiviti ladang.


PublicInvest menambah, kelemahan eksport berkemungkinan berpunca daripada faktor keadaan persaingan harga minyak kacang soya Argentina yang diniagakan lebih rendah sedikit berbanding MSM sendiri.


Bagaimanapun ujar firma penyelidikan tersebut, permintaan dari pasaran India dan Amerika Syarikat (AS) sebenarnya masih lagi mencatatkan pertumbuhan positif masing-masing sebanyak 13.4% dan 6%.


"Pada masa sama, pengeluaran MSM melonjak 18.4% MoM kepada 1.6 juta tan metrik, tertinggi dalam tempoh empat bulan, dipacu oleh peningkatan ketika hari penuaian selepas musim perayaan," katanya.


Di samping itu, jelas PublicInvest, hasil tandan buah segar (FFB) setakat tahun ini (YTD) turut menyaksikan peningkatan kepada 5.05 tan sehektar berbanding hanya 4.89 tan sehektar sebelumnya.


Ia menjangkakan keputusan kewangan suku pertama 2026 syarikat perladangan lebih sederhana berikutan purata harga MSM yang rendah iaitu RM4,174 berbanding RM4,712 pada tempoh yang sama tahun lalu.


Selain itu ujar firma penyelidikan tersebut, kos pengeluaran dijangka meningkat disebabkan kredit isirung sawit yang lebih rendah serta kos diesel lebih tinggi memberi kesan kepada produktiviti.


"Kami kekal 'overweight' terhadap sektor ini dengan unjuran harga purata MSM ialah RM4,400, serta menggemari SD Guthrie Berhad dan Ta Ann Holdings Berhad sebagai saham pilihan," kata PublicInvest.

 

sektor perladangan_DagangNews


Sementara itu, CGS International (CGSI) berpandangan peningkatan inventori pada April 2026 didorong pemulihan bermusim hasil ladang, dengan pengeluaran MSM naik 18% MoM, iaitu tertinggi bagi 2026.


Firma penyelidikan itu berkata, hasil FFB bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini berada pada 5.05 tan sehektar, dan adalah lebih tinggi daripada purata lima tahun sebanyak 4.59 tan sehektar.


Bagaimanapun, ia menjangkakan harga MSM berdepan dengan sedikit tekanan sepanjang suku kedua 2026 susulan pengeluaran yang terus meningkat positif manakala eksport diramal adalah kekal perlahan.


“Pembeli produk sawit ketika ini dilihat lebih mengambil pendekatan tunggu dan lihat berikutan ketegangan geopolitik di rantau Timur Tengah serta aktiviti stok simpanan terdahulu,” kata CGSI.


Namun, firma berkenaan percaya pelaksanaan mandat biodiesel B15 secara nasional mulai 1 Jun ini mampu menyerap sebahagian daripada lebihan bekalan domestik itu dan diunjur menyokong harga MSM.


Malaysia ketika ini ujarnya, melaksanakan mandat B10 bagi sektor pengangkutan, manakala B20 sudah diperkenalkan di beberapa kawasan terpilih termasuk Labuan, Langkawi dan sebahagian Sarawak.


CGSI berkata, sokongan struktur terhadap harga MSM dijangka kekal kukuh selepas suku kedua 2026 disebabkan peningkatan mandat biodiesel di negara pengeluar utama dan risiko cuaca El Niño.


"Kebarangkalian faktor fenomena El Niño berlaku antara bulan Jun hingga Ogos 2026 kini dianggarkan sekitar 62% berdasarkan data daripada pelbagai agensi kaji cuaca antarabangsa sendiri," jelasnya.


Ia turut mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor perladangan dengan pilihan utama terdiri daripada Ta Ann Holdings Berhad, SD Guthrie Berhad dan Hap Seng Plantations Holdings Berhad.


Tambah CGSI, pemain sektor huluan dijangka menikmati manfaat kekuatan harga MSM, manakala langkah penjanaan aset bukan teras berpotensi membuka ruang kepada dividen tinggi. - DagangNews.com

Terkini standard