Bekalan semakin terhad pacu pengukuhan harga minyak sawit mentah sepanjang 2H26 - HLIB

Business & Finance
8 Sep 2026 • 12:31 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bekalan semakin terhad pacu pengukuhan harga minyak sawit mentah sepanjang 2H26 - HLIB Image from: Bekalan semakin terhad pacu pengukuhan harga minyak sawit mentah sepanjang 2H26 - HLIB hamden08/09/2026 - 12:31 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Sept - Prospek sektor perladangan kekal positif apabila harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka terus berada pada paras tinggi sepanjang separuh kedua 2026 (2H26), disokong bekalan yang semakin ketat dan permintaan yang berdaya tahan, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan pendirian ‘overweight’ terhadap sektor berkenaan, selain mengekalkan andaian harga purata MSM 2026 dan 2027 masing-masing pada RM4,450 dan RM4,300 satu tan.

 

“Walaupun keadaan cuaca lebih kering perlu dipantau, kami menjangkakan harga MSM yang tinggi akan berterusan sepanjang 2H26 susulan bekalan yang semakin ketat dan permintaan yang berdaya tahan,” katanya dalam nota penyelidikan.

 

HLIB Research mengekalkan IOI Corp Bhd dan Hap Seng Plantations Holdings Bhd sebagai pilihan utama sektor, dengan harga sasaran masing-masing pada RM5.10 dan RM2.80.

 

Menurut HLIB Research, musim keputusan kewangan suku kedua 2026 (2Q26) kebanyakannya selari dengan jangkaan, apabila lima daripada enam syarikat perladangan di bawah liputannya memenuhi jangkaan.

 

Jumlah keuntungan teras sektor meningkat kecil sebanyak 1% suku ke suku kepada RM861 juta pada 2Q26, disokong pemulihan bermusim dalam pengeluaran BTS dan harga produk sawit direalisasikan yang lebih tinggi.

 

Dari segi pengeluaran BTS, prestasi turut bercampur apabila tiga daripada enam syarikat perladangan di bawah liputan HLIB Research merekodkan penurunan pada 2Q26.

 

HLIB mengaitkan keadaan itu dengan perubahan corak penuaian, manakala JPG turut terkesan oleh aktiviti penanaman semula yang agresif.

 

Risiko El Niño perlu dipantau

HLIB turut menyoroti keadaan cuaca yang semakin kering sejak Jun susulan fenomena El Niño yang berterusan, dengan keadaan kering dilihat lebih ketara di Indonesia berbanding Malaysia.

 

Walaupun masih terlalu awal untuk menentukan kesannya terhadap produktiviti ladang, keadaan lebih kering berpotensi menjejaskan hasil BTS dengan kesan kelewatan.

 

Pada masa sama, prospek segmen hiliran bertambah baik, khususnya dalam produk oleokimia.

 

Menurut HLIB, segmen itu mencatat pemulihan secara suku ke suku dan tahun ke tahun, didorong permintaan oleokimia yang lebih kukuh susulan gangguan rantaian bekalan dalam industri petrokimia akibat ketegangan di Timur Tengah.

 

Walaupun persaingan daripada pengeluar Indonesia kekal mencabar, permintaan jangka pendek dijangka terus disokong aktiviti penstokan semula berikutan ketidaktentuan geopolitik dan menjelang pelaksanaan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

 

HLIB menganggarkan setiap perubahan RM100 satu tan dalam andaian harga purata MSM akan memberi kesan antara 3% hingga 8% terhadap keuntungan syarikat perladangan di bawah liputannya.

 

Dengan harga MSM yang kekal kukuh serta prospek hiliran yang semakin baik, HLIB Research mengekalkan pendirian positif terhadap sektor perladangan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved