Bekalan tambahan diesel ke Sarawak dalam tempoh dua hari - Armizan

27 Dec 2023 • 6:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Armizan

KUCHING - Petronas Dagangan Berhad sedang melaksanakan penghantaran bekalan tambahan diesel ke Sarawak dalam tempoh dua hari ini susulan terputusnya bekalan bahan api itu di stesen milik Petronas di negeri ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Petronas juga disyaratkan untuk mengemukakan senarai stesen-stesen minyak yang terlibat dengan penghantaran bekalan tambahan itu.

"(Ini) untuk membolehkan pemantauan dibuat secara menyeluruh.

"Dalam kita menyelesaikan isu ini segera untuk menangani keperluan pengguna di kawasan-kawasan terjejas, Petronas dan syarikat minyak terlibat telah diminta mengemukakan laporan penuh dan dokumen terperinci punca isu berbangkit," katanya dalam mesej WhatsApp yang diterima Bernama di sini hari ini.

Menurutnya, kaedah penyelesaian itu dicapai hasil perbincangan di antara pihak kementeriannya dengan Kementerian Kewangan dan Petronas.

Kekurangan bekalan diesel bersubsidi di Sarawak dibangkitkan oleh Pengerusi DAP negeri itu, Chong Chieng Jen pada Isnin lepas yang berkata situasi itu sudah berlaku sejak dua minggu lepas.

Katanya, kegiatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menggunakan diesel bersubsidi untuk tujuan industri telah menyebabkan kuota untuk kegunaan orang ramai di negeri itu tidak mencukupi. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved