
KUALA LUMPUR - Bekalan tenaga negara dijangka kekal mencukupi sekurang-kurangnya sehingga bulan Julai, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muttaqin di Wangsa Maju hari ini.
“Insya-Allah, cukup,” katanya ringkas.
Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan sedang berusaha memastikan keselamatan bekalan tenaga negara sehingga Disember, susulan krisis bekalan global yang menjejaskan rantaian ekonomi dan meningkatkan kos tenaga.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata setakat ini, bekalan tenaga negara dijangka mencukupi sehingga Julai, dan usaha sedang dipergiat termasuk mendapatkan sumber bekalan tambahan dari luar negara.
Terdahulu pada April, Anwar dipetik sebagai berkata, bekalan tenaga Malaysia dijangka terus mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Jun.
Beliau berkata walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar tenaga, ia juga merupakan pengimport bersih kerana produk yang dihasilkan adalah berkualiti premium dengan kos lebih tinggi.
Pada masa sama, Perdana Menteri mengingatkan, potensi gangguan harga akibat ketidaktentuan tenaga global adalah tidak dapat dielakkan, walaupun bekalan mencukupi untuk kegunaan domestik.
“Setakat ini, unjuran bagi Mei dan Jun menunjukkan kemungkinan gangguan harga, tetapi dari segi bekalan untuk beberapa bulan akan datang, kita yakin mengenainya,” katanya.
Sebelum itu, Perdana Menteri tiba di Masjid Al-Muttaqin sekitar jam 1 tengah hari dan bersalaman dengan jemaah lain.
Jemaah, termasuk kanak-kanak yang hadir, turut mengambil kesempatan mendapatkan tandatangan dan bergambar dengannya. – Getaran, 22 Mei 2026






