Bekalan ubat negara kekal stabil, MMA gesa langkah jangka panjang diperkukuh

LocalHealth & Fitness
9 Apr 2026 • 5:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo

SHAH ALAM - Bekalan ubat negara ketika ini dilaporkan masih stabil tanpa menunjukkan peningkatan trend gangguan, meskipun berdepan ketidaktentuan global susulan krisis tenaga akibat konflik di Asia Barat.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo berkata, pengilang tempatan juga mempunyai stok bahan mentah dan produk siap yang mencukupi untuk tempoh beberapa bulan, sekali gus memberi perkembangan positif kepada sektor kesihatan negara.

Pada masa sama, beliau berkata MMA menyokong langkah kerajaan dalam memastikan keterjaminan bekalan ubat dan peranti perubatan negara yang diumumkan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Menurutnya, langkah itu adalah penting dan tepat pada masanya dalam menangani cabaran semasa.

“Antara pendekatan diambil termasuk pelaksanaan Laluan Akses Khas (Special Access Pathway) bagi memastikan ubat dan peranti perubatan kritikal terus boleh diakses.

“Selain itu, pemantauan stok secara berpusat, kepelbagaian sumber import serta pengaktifan pelan tindak balas kecemasan turut dilaksanakan,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, perancangan penubuhan stok penimbal strategik nasional serta pembangunan dasar keterjaminan ubat melalui MyMedSecure juga dilihat sebagai langkah penting dalam jangka sederhana dan panjang.

Bagaimanapun, katanya, situasi global masih tidak menentu dan tidak wajar bergantung sepenuhnya kepada keadaan semasa.

Sehubungan itu, MMA mengemukakan tiga cadangan utama bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara.

Pertama, stok penimbal strategik perlu memberi keutamaan kepada ubat dalam Senarai Ubat Penting Kebangsaan (NEML), khususnya bagi rawatan penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi dan penyakit kardiovaskular.

Kedua, maklumat berkaitan status bekalan perlu dikongsi secara lebih telus dan proaktif dengan sektor swasta termasuk klinik dan hospital bagi memastikan kesinambungan rawatan pesakit.

Ketiga, Malaysia perlu mempercepatkan pembangunan kapasiti pengeluaran ubat tempatan secara berstruktur dan berterusan sebagai langkah jangka panjang ke arah kedaulatan kesihatan negara.

“MMA akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan, MTEN serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat akses kepada rawatan dan ubat-ubatan yang diperlukan tanpa gangguan,” tambahnya.