SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan bekalan ubat-ubatan dalam negara ketika ini berada pada tahap stabil dan terkawal meskipun berlaku konflik di Asia Barat.
Menurut KKM dalam satu kenyataan, berdasarkan penilaian semasa, kesan konflik di Asia Barat terhadap bekalan ubat dalam jangka masa pendek adalah minimum.
“Paras stok ubat di fasiliti KKM disimpan antara satu hingga tiga bulan mengikut keperluan penggunaan, selain disokong stok penimbal tambahan sehingga dua bulan di peringkat syarikat konsesi bagi ubat-ubatan yang dibekalkan melalui konsesi logistik,” menurut kenyataan itu pada Isnin.
KKM berkata, pemantauan bekalan ubat dalam negara dilaksanakan secara berterusan menerusi mekanisme sedia ada, termasuk sistem pelaporan gangguan bekalan oleh Pemegang Pendaftaran Produk (PRH) dikendalikan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Menurutnya, sehingga 22 Mac 2026, tiada peningkatan trend dalam pelaporan PRH berkaitan gangguan bekalan ubat-ubatan dikesan.
Dalam pada itu, maklum balas daripada industri farmaseutikal tempatan menunjukkan pengilang mempunyai stok bahan mentah sehingga tiga bulan dengan kapasiti pengeluaran sekitar dua bulan.
Pada masa sama, pihak pengimport turut melaksanakan pemantauan rapi terhadap rantaian bekalan masing-masing.
KKM menegaskan akan terus memantau perkembangan konflik di Asia Barat secara teliti serta komited mengambil langkah proaktif, termasuk menubuhkan pasukan petugas melibatkan industri farmaseutikal dan pemegang taruh berkaitan.
Langkah itu bagi memastikan keterjaminan bekalan ubat, khususnya membabitkan ubat di bawah Senarai Ubat Penting Kebangsaan (NEML) di Malaysia.

