Bekas Ahli PKR Jadi Calon Bersama, PH Tak Goyang, Fokus Untuk Menang - Mat Sabu

LocalPolitics
28 Jun 2026 • 11:25 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Bekas Ahli PKR Jadi Calon Bersama, PH Tak Goyang, Fokus Untuk Menang - Mat Sabu

JOHOR BAHRU - Jentera Pakatan Harapan (PH) tidak goyah hanya kerana tindakan beberapa bekas ahli PKR yang memutuskan untuk bertanding di bawah panji Bersama. 

Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pengundi akan memilih pemimpin yang diyakini mampu memperjuangkan suara mereka. 

Katanya, beliau optimis peluang cerah menanti PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

“Semua yang masuk bertanding pasti mahukan kemenangan. Begitu juga kami. Semua pemimpin Amanah akan turun membantu calon PH berkempen sehingga 10 Julai nanti,” katanya ketika ditemui selepas membantu kempen calon PH untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Sharon Teo di sini malam tadi.

Turut mengiringi kempen ialah Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah dan Senator Sen Larry Asap. 

Jelas Mohamad, fokus yang sama diberikan untuk semua calon, tanpa ada pilih kasih untuk kawasan tertentu. 

“Fokus kita sama, semua akan dibantu. Kita tak pilih, semua sama sahaja. Satu lawan satu ke, lima lawan satu ke, semua sama,” katanya. 

Sementara itu, Mujahid berkata, Amanah berkongsi hala tuju Johor Maju Bersama Harapan pada kempen tersebut, serta komitmen PH untuk terus memacu pembangunan negeri.

Katanya, penekanan diberikan terhadap usaha mengutamakan kebajikan rakyat, memperkukuh ekonomi, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan.

“Kita juga akan memperkasa golongan muda serta memastikan setiap hasil pembangunan dapat dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat Johor.

“Saya menyeru seluruh rakyat DUN Permas, tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang, agar bersama-sama memilih HARAPAN. Berilah peluang kepada kami untuk terus berkhidmat demi Johor yang lebih maju, lebih sejahtera dan lebih makmur. Marilah kita bersatu hati membina masa depan yang lebih baik untuk anak-anak serta generasi akan datang,” katanya. - Getaran, 28 Jun 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved