Bekas CEO Bahvest, anak berhadapan 24 pertuduhan menipu kerajaan Sabah

25 Oct 2023 • 5:57 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bekas CEO Bahvest, anak berhadapan 24 pertuduhan menipu kerajaan Sabah

diyana

25/10/2023 - 17:57

KUALA LUMPUR 25 Okt - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bahvest, Datuk Lo Fui Ming dan anaknya, Lo Teck Yong, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu dengan 24 pertuduhan setiap seorang.

Pertuduhan tersebut melibatkan dakwaan menipu kerajaan Sabah berhubung kegagalan mereka mengisytiharkan kuantiti sebenar jongkong emas yang dijual.

Fui Ming, 67, dari Sandakan, dituduh telah menipu kerajaan Sabah dengan tidak mengisytiharkan jongkong emas sebenar yang dijual melalui invois dikemukakan kepada Jabatan Geosains dan Galian, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, dan Pejabat Hasil Bumi Sabah antara Disember 2019 dan Julai tahun ini.

Fui Ming dikatakan gagal mengisytihar 26 jongkong emas terjual dalam tempoh tersebut menyebabkan negeri Sabah kehilangan RM1.3 juta hasil royalti daripada penjualan tersebut.

Invois tersebut adalah daripada Wullersdorf Resources Sdn Bhd, yang mana beliau juga bekas CEO syarikat itu.

Sementara itu, anak lelakinya, Teck Yong, 47, bekas pengarah Wullersdorf Resources, didakwa bersama bapanya.

image is not available
Datuk Lo Fui Ming

Wullesdorf Resources dikatakan menjalankan aktiviti perlombongan emas di Bukit Mantri, Tawau.

Pertuduhan mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan, jika disabit kesalahan, kedua-dua mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Kong mengendali pendakwaan terbabit, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Zahir Shah.

Hakim Mahkamah Sesyen, Jason Juga menetapkan wang jaminan RM100,000 setiap seorang dan menetapkan 8 Disember untuk sebutan semula kes. - DagangNews.com