Bekas CEO EXIM Bank dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Apex Equity berkuat kuasa 3 Julai 2023

Business & Finance
4 Jul 2023 • 9:44 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bekas CEO EXIM Bank dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Apex Equity berkuat kuasa 3 Julai 2023

diyana

04/07/2023 - 09:44

KUALA LUMPUR 4 Julai - Firma broker saham, Apex Equity Holdings Bhd melantik Norzilah Mohammed sebagai Pengarah Eksekutif berkuat kuasa 3 Julai 2023.

Menurut makluman Apex Equity kepada Bursa Malaysia semalam, Norzilah, 58, sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) daripada Mac 2016 sehingga Mac 2019.

Selepas itu, beliau berkhidmat sebagai timbalan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Destini Bhd dari Mei 2019 sehingga Mac 2021, sebelum menyandang jawatan Pengarah Eksekutif Destini.

Norzilah memegang jawatan Pengarah Eksekutif Destini sehingga Februari tahun ini, sebelum meletakkan jawatan ‘untuk mengejar kepentingan peribadinya’, menurut Destini.

Selain itu, beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pentadbiran Perniagaan dalam Perakaunan dari California State University, Sacramento, Amerika Syarikat.

Dua minggu lalu, pemegang saham tunggal terbesar Apex, Fun Sheung Development Ltd gagal dalam usaha melantik tiga pengarah, iaitu Quintin Jeyaraj Vello, Lim Tian Huat dan Hong Kim Heong, selepas 55% pemegang saham pada mesyuarat agung tahunan kumpulan itu bertentangan dengan resolusi tersebut, berbanding 45% yang mengundi untuk resolusi.

Sementara itu, lima pengarah penyandang yang menawarkan diri untuk pemilihan semula, termasuk Pengarah Eksekutif, Datuk Leong Wai Leng dan Lim Kok Eng, menerima 55% sokongan daripada pemegang saham.

Fun Sheung adalah antara beberapa pemegang saham besar dalam Apex yang dikawal oleh mendiang Lim Siew Kim, yang merupakan anak perempuan pengasas kumpulan Genting, Tan Sri Lim Goh Tong, sebelum kematiannya tahun lepas.

Syarikat-syarikat ini, termasuk Fun Sheung, Yenson Investments Ltd, Pinerains Sdn Bhd dan Cergas Megah Sdn Bhd, dianggarkan secara kolektif mempunyai kira-kira 32.28% pegangan saham dalam Apex.

Saham dalam Apex Equity kali terakhir didagangkan pada RM1.18 pada 28 Jun dengan modal pasaran berjumlah RM252 juta. - DagangNews.com