
Bekas Eksekutif Megaspeed, Alice Huang, dikenakan amaran keras dan dilarang memasuki semula Singapura selepas didapati sengaja memberikan maklumat tidak tepat ketika siasatan.
Menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura (MHA) dalam kenyataan pada Khamis (12 November), Huang dipercayai cuba memperkecilkan peranannya dalam syarikat berkenaan sepanjang siasatan dijalankan.
Bagaimanapun, polis mendapati bukti tidak mencukupi untuk membuktikan Huang melakukan sebarang kesalahan berkaitan pengisytiharan maklumat yang sedang disiasat.
Keputusan itu dibuat pada Februari 2026 selepas polis mendapatkan pandangan daripada Pejabat Peguam Negara (AGC).

MHA berkata, siasatan terhadap Megaspeed dan enam individu lain masih berjalan, namun kesemua mereka tidak berada di Singapura sejak siasatan bermula pada Februari 2025.
Pasport Huang dipulangkan pada 26 Februari 2026 sebelum dia meninggalkan negara itu pada hari sama.
“Singapura komited untuk mempertahankan reputasinya sebagai hab perniagaan yang dipercayai dan boleh diharap.
“Kami tidak akan membenarkan mana-mana syarikat atau individu menyalahgunakan persekitaran perniagaan Singapura untuk melakukan penipuan atau amalan tidak jujur,” menurut MHA.
Untuk rekod, Megaspeed sebelum ini disiasat oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Kastam Singapura berhubung kemungkinan pengisytiharan maklumat palsu berkaitan pembelian pelayan komputer.
Baca juga:
"Ia Satu Penghormatan" Elon Musk Sedia 'Ambil' Jensen Huang Jika Hilang Jawatan CEO Nvidia
Nvidia Siasat Dakwaan Hubungan CEO Dengan Individu Disyaki Perisik China
Siasatan turut meneliti sama ada pelayan berkenaan dihantar melalui Singapura ke Malaysia sebelum dibawa ke negara lain, bertentangan dengan maklumat yang diisytiharkan oleh syarikat terbabit.
Huang yang menetap di Hong Kong disiasat kerana peranannya sebagai bekas CEO, pengerusi dan salah seorang individu utama yang mengawal syarikat berkenaan.
Bagaimanapun, MHA menjelaskan Huang tidak pernah disiasat atas dakwaan pengintipan, meskipun namanya sebelum ini dikaitkan dengan laporan mengenai kegiatan risikan untuk Beijing.
Megaspeed menjadi perhatian antarabangsa selepas laporan media menyebut pegawai perisikan Amerika Syarikat (AS) mengesyaki Huang mempunyai kaitan dengan kegiatan mengintip untuk China.
Huang turut mencuri perhatian selepas dikaitkan dengan hubungan sulit bersama Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang.
Dakwaan mengenai hubungan tersebut turut mencetuskan perbincangan meluas kerana Jensen merupakan antara tokoh paling berpengaruh dalam industri teknologi dunia.
Dalam perkembangan berkaitan, MHA menjelaskan bahawa siasatan Singapura terhadap Megaspeed dijalankan secara bebas dan bukan berdasarkan permintaan mana-mana negara.
Alice Huang Dilarang Masuk Semula Singapura

Pihak berkuasa turut menegaskan bahawa tindakan terhadap Huang dibuat berdasarkan penilaian mereka terhadap maklumat yang diberikan sepanjang siasatan, meskipun bukti tidak mencukupi untuk membuktikan dia melakukan kesalahan jenayah.





