SHAH ALAM - Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim dilantik sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas Krisis Tenaga Selangor bagi menangani kesan ketidaktentuan global terhadap bekalan tenaga dan kos sara hidup rakyat.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Ekonomi Selangor yang menilai langkah segera untuk membantu rakyat dan industri sebagai tindak balas kepada kesan Krisis Perang Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.
Selain Muhammad, pasukan khas itu turut disertai pakar lain termasuk Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM),
Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Datuk Mohamed Rafique Merican.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pasukan itu dijangka mencadangkan langkah segera bagi mengurangkan kesan terhadap rakyat serta merangka strategi sehingga tempoh setahun sekiranya konflik berterusan.
"Krisis Perang yang menutup Selat Hormuz telah memberikan kesan antaranya kepada bekalan bahan tenaga yang penting untuk pengangkutan, baja dan urea yang kritikal bagi penghasilan makanan, serta kimia dan helium yang merupakan bahan utama di hospital mahupun pembuatan semikonduktor.
"Bagi mendepani krisis ini, kerajaan negeri akan menyemak semula Belanjawan Selangor 2026 dengan memberikan fokus kepada kossara hidup dan bantuan kepada rakyat yang terkesan, sokongan kepada industri, serta meneroka peluang seperti peralihan tenaga secara lebih pantas," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Amirudin memberitahu, sebagai langkah awal, kerajaan negeri akan memperkenalkan Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) mulai 15 April dari hari Selasa hingga Khamis setiap minggu bagi menjimatkan penggunaan bahan bakar dan mengurangkan kesesakan jalan raya.
Beliau menjelaskan, dasar itu akan disemak secara bulanan mengikut keadaan dan keberkesanan.
"Sektor swasta di Selangor turut digalakkan untuk melaksanakan Dasar BDR melihat kepada kesesuaian industri, dan kerajaan negeri bersedia membantu dari segi adaptasi teknologi digital," ujarnya.
Selain itu, kerajaan negeri turut menangguhkan perjalanan rasmi ke luar negara untuk semua jabatan kecuali bagi urusan pelaburan dan pelancongan bagi mengekalkan ekonomi tempatan, industri sokongan serta peluang pekerjaan rakyat Selangor.
Amirudin menegaskan, setiap jabatan perlu mengkoordinasi usaha dan bekerja dalam mod krisis bagi memastikan Selangor bersedia menghadapi kesan jangka panjang daripada konflik global ini.
"Perang ini akan meninggalkan kesan jangka masa panjang kepada ekonomi negara dan Selangor, dan setiap warga Selangor perlu berganding bahu supaya kita bersedia mengharungi cabaran yang akan dihadapi," tambah beliau.

