Bekas Juara Program Nyanyian Remaja, Emeer Bakri Kini Kembali!

Music
22 Jun 2022 • 6:15 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Penyanyi Emeer Bakri yang pernah menyertai pertandingan nyanyian anjuran sebuah rancangan televisyen ketika berumur 14 tahun kembali aktif dalam industri hiburan tanah air dengan single terbaharunya.

image is not available

“Saya telah mula menyanyi dari umur 10 tahun lagi dengan menyertai pelbagai pertandingan karaoke di sekitar Pahang. Saya berjaya menjadi salah satu finalis bagi program realiti di TV3 iaitu ‘Mystarz LG’ musim pertama dan merupakan satu-satunya peserta termuda.

“Nasib akhirnya menyebelahi saya pada tahun 2009 apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan nyanyian di TV9 dikenali sebagai ‘Oo La La’ ketika berusia 14 tahun,” katanya.

Selepas 13 tahun, bernaung di bawah syarikat Armani Entertainment Group (AEG), jejaka kelahiran Kuantan ini membawa buah tangan terkini menerusi lagu Fantasia ciptaan komposer terkenal Omar K, Firdaus Rahmat dan John Jeeves.

image is not available

“Alhamdulillah dan terima kasih di atas peluang yang diberikan oleh pihak pengurusan AEG, mempercayai bakat saya sehingga ditawarkan kontrak rakaman bersama mereka.

“Pada tahun lepas, saya berjaya menjadi naib juara pertandingan pencarian bakat ‘The Audition’ anjuran AEG, dan dari disitulah bakat saya ditemui semula,” tambah Emeer.

Selain berprofesi sebagai penyanyi profesional, Emeer juga merupakan Penerbit Muzik di AEG dan bertanggungjawab menghasilkan pelbagai konten berkaitan muzik.

“Saya nekad untuk berhijrah ke Kuala Lumpur demi mengejar cita-cita dalam bidang muzik dan dengan terlahirnya Fantasia, ia seakan memberi peluang kedua buat saya untuk menunjukkan kembali bakat yang saya ada kepada semua rakyat Malaysia.

“Melalui lagu ciptaan komposer terkenal negara seperti abang Omar K, Firdaus Rahmat dan John Jeeves ini mampu menonjolkan kemampuan vokal saya dalam menyampaikan sesebuah karya muzik.

image is not available

“Proses rakaman hanya berlangsung sekitar 2 jam sahaja di Studio World Peace Entertainment, Kota Damansara dalam suasana yang fun dan relaks kerana banyak ilmu yang saya timba ketika berada di dalam studio bersama mereka yang profesional dan saya hormati,” tambahnya.

Serentak dengan rilisnya single Fantasia nanti, sebuah video (MV) turut dilancarkan dengan mengangkat tema science fiction, dan jalan ceritanya yang agak berlainan pasti membuat ramai penonton tertanya-tanya apa yang sebenarnya terjadi.

Selain itu, single Fantasia juga merupakan OST rasmi bagi drama ‘Setelah Terlafaznya Akad 2’ yang ditayangkan di Astro Ria bermula 1 Jun ini pada jam 10 malam di slot Mega Drama.

Lagu ‘Fantasia’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian popular seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. - Getaran, 22 Jun 2022