
ALOR SETAR - Seorang bekas jururawat mengalami kerugian mencecah RM1.9 juta selepas terpedaya satu pelaburan tidak wujud yang diiklankan melalui media sosial.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kedah, Superintenden Loi Yew Lik berkata, polis menerima laporan di Balai Polis Jitra pada jam 12.37 tengah hari Selasa daripada pengadu yang berusia 76 tahun dan pernah bertugas di Sydney, Australia sebelum ini.
Menurutnya, mangsa yang berstatus bujang telah melihat satu pelaburan diiklankan melalui laman sosial YouTube sekali gus terpedaya dengan keuntungan ditawarkan.
"Pada permulaan, pengadu telah berurusan dengan wakil syarikat dan diterangkan berkaitan pelaburan tersebut melalui kelas dalam talian yang didakwa diadakan syarikat terbabit.
"Pengadu telah membuat bayaran modal berjumlah RM100,000 pada 17 Jun lalu, bagaimanapun pengadu terus membuat bayaran sebanyak 19 kali transaksi ke pelbagai akaun bank yang dibekalkan sehingga berjumlah RM1,902,070," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.
Yew Lik berkata, pengadu mendakwa dijanjikan menerima pulangan keuntungan dalam tempoh sebulan namun sehingga laporan dibuat, tiada sebarang keuntungan diterima.
Disebabkan itu, wanita terbabit mulai curiga dan syak telah ditipu.
Beliau berkata, siasatan mendapati, pelaburan tersebut adalah palsu dan menggunakan nama 'capital dynamic' yang merupakan syarikat pelaburan antarabangsa.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya JSJK Kedah menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran pelaburan keuntungan lumayan supaya tidak menjadi mangsa sindiket pelaburan tidak wujud.
Kes disiasat bawah Seksyen 420 kanun keseksaan.
