Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Rahman meninggal dunia

18 Aug 2024 • 8:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Rozaid Abdul Rahman

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Abdul Rahman, 59, meninggal dunia di kediamannya di Putra Heights petang tadi.

Berita kematian tersebut disahkan oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Tunku Nashrul Tunku Abaidah.

Allahyarham yang juga Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO) dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Sebelum ini, beliau pernah mengalami masalah kesihatan yang sama dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

Pada 5 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menziarahi Rozaid yang sedang menerima rawatan ekoran masalah kesihatan yang dihadapinya.

Allahyarham memulakan tugas di Sinar Harian pada 4 Januari 2021 sebelum mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatannya pada 30 Disember 2022.

Semasa dalam tempoh perkhidmatan, Allahyarham sempat melancarkan portal berita bahasa Inggeris Kumpulan Karangkraf iaitu Sinar Daily.

Rozaid berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama 40 tahun selepas memulakan kerjaya sebagai pemberita kadet di Utusan Malaysia pada April 1984.

Wartawan veteran itu juga pernah menjawat jawatan Pegawai Eksekutif Pengisian/Pengarang Eksekutif Kumpulan Media The Star.

Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang ketika itu Menteri Pengajian Tinggi.