
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Hari ini (29 Januari), bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Datuk Mohd Razali Alias, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan menerima suapan AS$20,000 dan RM64,600 bagi pembelian dua tiket penerbangan untuk isterinya ke luar negara pada 2024 dan 2025.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin, dan mohon agar dibicarakan.
“Saya faham, saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya dipetik Sinar Harian.
Razali sebelum itu dilihat diiringi oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memasuki lobi mahkamah sebelum dibawa ke Mahkamah Khas Rasuah.
Didakwa Terima Suapan Sebagai Dorongan Luluskan Sijil Pengesahan & Penerimaan Perkhidmatan
Bagi tuduhan pertama, Razali didakwa secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang berjumlah AS$20,000 (kini bersamaan RM78,610) daripada Pengarah Syarikat Intelligence PC Centre Sdn Bhd, Sheikh Ahmad Nafiq Sheikh A Rahman, 45.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO), Kem Kementah, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur antara Ogos dan November 2024.
Memetik laporan Berita Harian, wang itu sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan MDIO ATM, meluluskan sijil pengesahan dan penerimaan perkhidmatan untuk tujuan pembayaran bagi Perolehan Perkhidmatan Senggaraan dan Perkhidmatan Sokongan Sistem Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP).
Dia dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Didakwa Terima Bayaran Bagi Pembelian Tiket Penerbangan Isteri
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa telah menerima pembayaran masing-masing RM26,800 dan RM37,800 bagi pembelian tiket penerbangan untuk isterinya, Azarina Bakia, dengan tanpa balasan ketika masih menjawat jawatan berkenaan.
Tiket penerbangan terbabit merangkumi laluan pergi dan balik antara Kuala Lumpur dan Malaga, Sepanyol serta Estonia.
Suapan wang itu juga diterima daripada Sheikh Ahmad Nafiq yang diketahui mempunyai hubungan dengan tugasnya, di lokasi sama pada 15 November 2024 dan 28 April 2025.
Kedua-dua kes ini dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
2 Pegawai Kanan ATM Dengan Gelaran Datuk Didakwa Terima Rasuah Minggu Ini – Azam Baki
Pada 22 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata dua lagi pegawai kanan ATM bergelar Datuk akan didakwa atas pertuduhan rasuah, minggu ini.
Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan persaraan Razali dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar.
Namun beliau mengesahkan persaraan dua pimpinan atasan ATM itu tiada kaitan dengan siasatan Op Sohor yang dijalankan oleh SPRM. Perkara sama turut disahkan oleh Azam Baki.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Rasuah Dalam ATM: “Agaknya Lepas Ini Saya Terpaksa Lantik Sarjan Saja Jadi PAT” – Agong
Baca Artikel Berkaitan: Sistem Pertahanan Nasional Tetap Utuh Biarpun ATM Terpalit Skandal – Mohamed Khaled
Baca Artikel Berkaitan: Ini Senarai Kes Rasuah Didakwa Libatkan Anggota ATM Sejak Ogos Tahun Lalu

