
Kota Kinabalu: Seorang mekanik yang sudah bersara dan isteri warga Filipinanya masing-masing didenda RM10,000 oleh Mahkamah Tinggi kerana membenarkan dua pendatang tanpa izin (PTI) warga Filipina tinggal di rumah mereka di Penampang, tiga tahun lalu.
Michael Pillai, 64, dan Phoebe Yanoc Indoc, 62, mengaku bersalah di hadapan Hakim Maslinda @ Linda Mohd Ainal kerana secara bersama membenarkan dua PTI itu tinggal di premis mereka di Kg Nosoob Baru, antara jam 10 malam pada 18 November hingga jam 6 pagi pada 23 November 2022.
Pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap pendatang tanpa izin.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Michael dan Phoebe masing-masing didenda RM5,000 bagi setiap PTI, atau dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.
Pertuduhan alternatif itu dikenakan ke atas pasangan terbabit ketika sebutan bagi pertuduhan asal mereka iaitu menyembunyikan atau melindungi dua mangsa pemerdagangan manusia warga Filipina di bawah Seksyen 26H Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.
Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus ketika mengemukakan fakta kes memaklumkan mahkamah bahawa siasatan mendapati pada 15 November 2022, dua wanita Filipina berlepas dari Lapangan Terbang Manila ke Palawan dan setibanya di sana, mereka dibawa oleh dua lelaki tidak dikenali ke sebuah hotel untuk bermalam.
Keesokannya, kedua-dua wanita itu dibawa ke Pelabuhan Buliluyan, di mana mereka menaiki bot ke Kudat, Sabah dan setibanya di Kudat, mereka dijemput oleh seorang lelaki yang memandu Toyota Hilux dan dibawa ke Penampang.
Pada 18 November jam 10 malam, Michael dan Phoebe, yang merupakan suami isteri, menjemput kedua-dua wanita terbabit dan membawa mereka ke rumah di Kg Nosoob, Penampang, tempat mereka menginap selama lima hari.
Sepanjang tempoh itu, Michael dan Phoebe menyediakan bilik, makanan dan minuman untuk kedua-dua wanita itu.
Pada 23 November jam 6 pagi, seorang lelaki tiba di rumah pasangan itu dan membawa dua wanita berkenaan dengan kereta ke Lawas, Sarawak, sebelum membeli tiket penerbangan untuk mereka ke Miri, Sarawak.
Bertindak atas maklumat daripada kedutaan Filipina, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri berjaya menyelamatkan dua wanita itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Miri.
Tidak diwakili, Michael yang dibebaskan dengan jaminan, memohon hukuman denda dengan mengatakan dia menghidap pelbagai penyakit termasuk masalah paru-paru, tekanan darah tinggi dan kanser prostat yang memerlukan pemeriksaan setiap enam bulan. Dia juga memberitahu bahawa dia perlu menjaga tiga anaknya yang masih bersekolah.
Phoebe, yang juga tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan kerana menghidap tekanan darah tinggi dan osteoartritis serta perlu pulang ke kampung halamannya di Filipina untuk menjaga ibunya yang sudah tua dan kurang upaya yang kini dijaga oleh ahli keluarga lain.
Pihak pendakwaan tidak membantah permohonan Michael agar dikenakan denda selepas meneliti rekod perubatannya yang dikemukakan kepada mahkamah.
Mahkamah memerintahkan wang jaminan Michael dipulangkan, Phoebe dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas membayar denda atau menjalani hukuman dan pertuduhan asal terhadap mereka ditarik balik.
