
SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen kembali menyertai UMNO.
Menurut Mohd Rafiq, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat pada malam Khamis telah menerima permohonannya sebagai ahli berkuatkuasa 18 Mac depan iaitu selepas pemilihan parti.
“Alhamdulillah, setelah berbincang dengan rakan-rakan, ahli keluarga dan sahabat seperjuangan, saya telah membuat keputusan menghantar permohonan menyertai UMNO beberapa minggu lepas.
“Jutaan terima kasih diucapkan kepada Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan), Setiausaha Agung (Datuk Seri Ahmad Maslan), Pengerusi UMNO Melaka (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh), ahli-Ahli MKT dan Ketua Bahagian Tangga Batu (Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad) kerana memberi peluang untuk saya kembali.
“Saya sedar, keputusan yang dibuat ini tidak popular, tidak mungkin dipersetujui dan tidak mungkin dapat diterima oleh semua pihak.
“Namun, saya yakin dan percaya, perjalanan karier politik yang penuh mencabar daripada awal penglibatan saya sehingga ke hari ini termasuklah perjuangan untuk bersama parti semula adalah ketentuan ALLAH SWT,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jelas beliau, tindakan itu bukanlah kerana kedudukan UMNO yang telah berada dalam Kerajaan Perpaduan.
Sebaliknya, keputusannya dan rakan-rakan untuk tidak bersama Bersatu dan menyokong UMNO dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lagi, iaitu ketika belum lagi diketahui kedudukan parti mana yang bakal mentadbir negara.
“Saya ikhlas, bertekad dan beriltizam untuk membantu dan berjuang bersama kepimpinan UMNO Malaysia, UMNO Melaka dan UMNO Bahagian Tangga Batu untuk mengembalikan semula sokongan dan kepercayaan rakyat kepada UMNO.
“Dengan izin ALLAH SWT jua, saya bersyukur apabila perjuangan saya dalam UMNO yang terhenti seketika sebelum ini dapat diteruskan kembali,” katanya.


