Bekas PAT Berdepan 4 Tuduhan Termasuk Pecah Amanah RM3 Juta, Mengaku Tidak Bersalah

LocalPolitics
23 Jan 2026 • 11:08 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Hari ini (23 Januari), bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral (B) Tan Sri Mohd Nizam Jaffar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpuur atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan dan menerima wang berjumlah RM752,481.90 serta pecah amanah wang RM3 juta.

Bagaimanapun, Mohd Nizam, 59, mengaku tidak bersalah selepas keempat-empat pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

“Faham pertuduhan Yang Arif, tidak mengaku salah,” demikian katanya selepas kesemua pertuduhan dibacakan.

Pertuduhan pertama: Didakwa terima suapan RM267,481.90 dari tiga syarikat

Memetik Bernama, bagi pertuduhan pertama, Mohd Nizam sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) telah menggunakan kuasanya untuk suapan wang berjumlah RM267,481.90 bagi dirinya sendiri.

Suapan terbabit didakwa dilakukan Mohd Nizam dengan melantik tiga buah syarikat untuk menjalankan kerja-kerja antaranya:

  • Sinar Bakti Global – ‘Pembekalan Kain Pelikat Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025’ – RM468,000
  • Sinar Raudhah Global – ‘Pembekalan Kain Batik Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025’ – RM52,000
  • Zahra Jaya Global – ‘Pembekalan Multifunctional Folding Pliers Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025’ – RM750,000

Pertuduhan kedua: Didakwa terima suapan RM285,000 dari dua syarikat

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Nizam didakwa sebagai AKSPA ATM yang mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif TKAT telah menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM285,000 bagi dirinya.

Beliau didakwa melantik QMZ Resources untuk menjalankan kerja ‘Pembekalan Tuala Mandi Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025’ bernilai RM600,00 dan melantik Helmee Resources untuk menjalankan kerja ‘Pembekalan Beg Galas Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025’ bernilai RM1,725,000 kepada TKAT yang mana tertuduh mempunyai kepentingan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Padang Tembak, Kementah pada 24 Jun 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM) [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga: didakwa pecah amanah RM3 juta untuk buat pelaburan

Bagi pertuduhan ketiga pula, beliau didakwa sebagai AKSPA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT telah melakukan pecah amanah wang berjumlah RM3 juta milik TKAT dengan menyalahgunakan wang itu bagi membuat pelaburan tambahan di dalam syarikat Precious Amber International Berhad tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 4 Oktober 2024 dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan [Akta 574].

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Pertuduhan keempat: didakwa terima wang RM200,000 tanpa balasan

Mengikut pertuduhan keempat, tertuduh didakwa sebagai PAT ATM telah menerima wang berjumlah RM200,000 tanpa balasan daripada seorang pengarah Syarikat Aspen Red Sdn Bhd yang mungkin ada kaitan dalam urusan yang akan dijalankan olehnya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma Transit Kuala Lumpur, Jalan Buku Lima, Kementah pada Mac 2025, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib manakala Mohd Nizam pula diwakili Peguam Abdul Aziz Hamzah.

Baca Artikel Berkaitan: Kes Rasuah Dalam ATM: “Agaknya Lepas Ini Saya Terpaksa Lantik Sarjan Saja Jadi PAT” – Agong

Baca Artikel Berkaitan: Bekas PTD Dihadapkan Ke Mahkamah, Didakwa Terima Wang Haram Lebih RM2.1 Juta