Bekas PAT Didakwa, Mengaku Tak Bersalah Untuk 4 Pertuduhan Rasuah

LocalPolitics
23 Jan 2026 • 11:07 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaafar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas empat pertuduhan rasuah.

Kesemua pertuduhan berkenaan melibatkan jumlah melebihi RM4.7 juta.

Mohd Nizam, 59, didakwa atas masing-masing satu pertuduhan pecah amanah dan menerima barangan berharga tanpa balasan,  serta dua pertuduhan menyalahgunakan jawatan bagi memperoleh suapan.

Pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

“Faham pertuduhan Yang Arif, tidak mengaku salah,” katanya seperti dilaporkan BERNAMA. 

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh yang ketika itu Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM552,481.90.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 24 Jun 2024 di Kementerian Pertahanan dengan melantik beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan dengannya untuk membekalkan hadiah Hari Raya kepada TKAT tahun lalu.

Kontrak berkenaan melibatkan pembekalan kain pelikat, kain batik, tuala mandi, beg galas serta playar lipat pelbagai guna, dengan nilai keseluruhan melebihi RM3.5 juta.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan ketiga, Mohd Nizam dalam kapasiti sebagai AKSPA dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT didakwa melakukan pecah amanah jenayah melibatkan RM3 juta milik tabung berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 4 Oktober 2024 apabila dengan tidak jujur menyalahgunakan dana berkenaan untuk membuat pelaburan tambahan dalam Precious Amber International Bhd tanpa kelulusan jawatankuasa.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda.

Bagi pertuduhan keempat, Mohd Nizam didakwa menerima RM200,000 tanpa balasan daripada pengarah Aspen Red Sdn Bhd, Wan Shafie Abdul Rashid, pada Mac tahun lalu.

Tertuduh yang ketika itu merupakan Panglima Angkatan Tentera didakwa menerima wang tersebut dengan pengetahuan bahawa individu berkenaan mempunyai urusan berkaitan tugas rasminya di Wisma Transit Kuala Lumpur.

Kesalahan itu diperuntukkan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali. - Getaran, 23 Januari 2026