Bekas peguam bebas tuduhan pecah amanah RM627,800

25 Jun 2024 • 4:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen pada Rabu melepas dan membebaskan seorang bekas peguam daripada tiga pertuduhan pecah amanah wang berjumlah RM627,800, membabitkan urusan pembelian rumah milik pelanggannya warga Sri Lanka, sejak 2015 sehingga 2016.

Hakim Azrul Darus memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Ling Lae Feei, 57, di akhir kes pembelaan.

"Setelah mahkamah mendengar keterangan daripada saksi-saksi serta meneliti dokumen-dokumen kes ini, mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah ke atas tertuduh.

"Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Lae Feei didakwa sebagai seorang peguam di sebuah syarikat guaman (ketika itu) telah melakukan pecah amanah wang berkenaan milik Mrinalini Ponnambalam, di sebuah unit pejabat di Bandar Tun Razak, Cheras antara 5 November 2015 hingga 28 Jun 2016.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif manakala peguam Engku Aminuddin Engku Ibrahim mewakili tertuduh.

Seramai empat saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 18 Mac.- Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!