
Oleh Ufairah Tarmidzi
SHAH ALAM, 4 JULAI: Seorang lelaki mendakwa dipukul bekas majikannya yang juga selebriti kecergasan dengan kabel ‘treadmill’ sehingga menyebabkan kesan lebam teruk di tubuhnya.
Mangsa, Afiq Zakwan Johari, 27, mendakwa kejadian tersebut berlaku pada 16 Jun lalu ketika dia bekerja sebagai pembantu peribadi kepada majikannya yang berumur 37 tahun, lapor portal New Straits Times.
“Saya dah tak tahan. Dia mudah naik angin dan bila marah, dia pukul dengan kuat. “Dia guna apa sahaja yang ada…kabel, tangan kosong,” dakwa Afiq.
Menurut Afiq Zakwan, pada peringkat awal, bekas majikannya itu memberi layanan yang baik apabila dia mula bekerja di pusat kecergasan tersebut sekitar September 2023 lalu dan sering memberi kejutan berupa bonus kepada pekerja.
Katanya, selain di pejabat, dia juga pernah dipukul beberapa kali di hadapan kakitangan yang lain. termasuk di rumah jurulatih yang sering berkongsi kata-kata motivasi di media sosial itu.
“Dia panggil saya ‘orang kanan’ dia. Mula-mula dia sangat baik dan pemurah.
“Namun menjelang hujung tahun lalu, semuanya mula berubah. Dia mula marah-marah atas perkara kecil,” dakwanya lagi.
Tambah Afiq Zakwan, selepas berbincang dengan keluarganya, dia membuat keputusan untuk berhenti kerja dan membuat laporan pertama di Balai Polis Bukit Jelutong pada 17 Jun, manakala satu lagi laporan susulan dibuat pada Rabu lalu.
Menurut New Straits Times, bekas majikan Afiq Zakwan ketika dihubungi menafikan semua dakwaan terhadapnya dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah selain laporan polis juga telah dibuat.
The post Bekas pekerja dakwa didera selebriti kecergasan, tubuh lebam appeared first on Selangorkini.


