
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan salah satu bentuk caruman yang digunakan untuk para pekerja di Malaysia.
Caruman ini perlu disediakan untuk setiap pekerja khususnya swasta bagi menyimpan wang di hari tua.
Malah wang caruman ini bukan sekadar ditolak daripada gaji pekerja, bahkan majikan juga perlu membayar KWSP mengikut peratus yang ditetapkan.
Bekas pekerja dakwa pelakon terkenal tak bayar KWSP seja setahun lalu
Terbaharu, seorang wanita yang juga bekas pekerja di syarikat tudung milik seorang pelakon wanita terkenal mendakwa majikannya itu culas membuat pembayaran KWSP kepada pekerjanya.
Dakwa Yati yang pernah berkhidmat di syarikat pelakon berkenaan dia tidak mendapat bayaran KWSP sejak setahun yang lalu.
Malah dia juga mengatakan syarikat terbabit menabur janji palsu kepada dirinya serta rakan sekerja lain kerana tidak ada sebarang bayaran caruman atas peranan mereka sebagai pekerja, lapor mStar.
Ekoran itu, Yati terpaksa tampil mendedahkan hal berkenaan sebagai cara terakhir untuk mendapatkan keadilan.
“Perkara ini berlaku dari tahun lepas. Apabila dalam mesyuarat mereka hanya beri janji-janji manis.
“Mereka juga janji untuk selesaikan (bayar wang KWSP) pada November tahun lalu. Tapi sehingga kini masih lagi belum ada bayaran yang dicarumkan,” jelasnya, dipetik mStar.
Bekas pekerja buat laporan pada KWSP
Bekas pekerja pelakon itu turut mendakwa meskipun dirinya telah diberhentikan akan tetapi dia masih menuntut jawapan berhubung status bayaran KWSP dari syarikat aktres terbabit.
Namun respon yang diterimanya setiap kali bertanya mengenai hal itu, syarikat hanya menyarankannya untuk membuat laporan ke Ibu Pejabat KWSP di Kwasa Damansara, Selangor.
Dua kali buat laporan KWSP, tapi hanya dapat surat laporan terima aduan
Dakwanya selepas dua kali membuat aduan, dia dan rakan hanya mendapat surat laporan terima aduan dari KWSP berbanding bekas pekerja lain yang telah pun mendapat semula tunggakan KWSP.
“Saya ada bertanya kepada kakitangan sumber manusia syarikat itu mengenai status caruman KWSP kami. Tapi mereka hanya beritahu supaya buat laporan di KWSP, Kwasa Damansara.
“Rakan-rakan saya yang membuat laporan di beberapa cawangan KWSP lain sudah dapat jawapan tapi saya dan beberapa lagi yang membuat laporan di Ibu Pejabat Kwasa Damansara masih belum terima apa-apa.
“Namun selepas dua kali laporan dibuat barulah kami menerima surat aduan daripada pihak KWSP. Mereka juga hanya maklumkan aduan kami ambil masa lama kerana sudah 12 bulan tidak dibayar,” ujar Yati lagi.
Dakwa sudah diberhentikan sejak April lalu dengan alasan syarikat tanggung hutang banyak
Apa yang menjadi perhatian lagi, Yati juga memaklumkan mereka sudah diberhentikan dari syarikat itu sejak April lalu.
Syarikat itu juga memberikan alasan yang mereka sedang menanggung hutang yang banyak.
“Saya salah seorang yang diberhentikan dengan alasan syarikat sudah tiada duit dan banyak hutang. Mereka tidak mampu nak bayar kami.
“Mereka juga sudah buat laporan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang memaklumkan mereka layak untuk memberhentikan pekerja.”
Source:



