Bekas pemain Arsenal dihalang masuk Kanada

WorldFootball
13 Jun 2026 • 7:07 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bekas pemain Arsenal dihalang masuk Kanada
Partey yang sedang berdepan tuduhan rogol terlepas aksi menentang Panama selepas permohonan visa ditolak kerajaan Kanada. Foto Agensi

GHANA menerima tamparan awal menjelang kempen Piala Dunia 2026 apabila pemain tengah berpengaruh, Thomas Partey disahkan terlepas aksi pembukaan menentang Panama selepas permohonan visanya ditolak kerajaan Kanada.

Ketiadaan pemain berusia 32 tahun itu memberi cabaran besar kepada Ghana yang dijangka bergantung kepada pengalaman dan pengaruhnya di bahagian tengah bagi memburu kemenangan pertama dalam saingan Kumpulan L.

"FIFA mengesahkan bahawa pemain Thomas Partey tidak dapat melakukan perjalanan dari kem latihan Ghana di Boston, Amerika Syarikat (AS) ke Kanada untuk perlawanan pertama mereka menentang Panama pada 18 Jun kerana permohonan visanya ditolak oleh kerajaan Kanada," menurut kenyataan badan induk bola sepak dunia itu.

FIFA turut menjelaskan bahawa ia tidak mempunyai peranan dalam proses imigresen negara tuan rumah, termasuk urusan kelulusan visa.

"Seperti kejohanan FIFA sebelum ini, kerajaan tuan rumah mempunyai kuasa muktamad untuk menentukan siapa yang menerima visa dan dibenarkan memasuki negara berkenaan," katanya.

Partey yang kini beraksi bersama Villarreal, sedang menunggu perbicaraan di Britain selepas didakwa atas tujuh pertuduhan rogol dan satu pertuduhan serangan seksual membabitkan empat wanita berbeza bagi kejadian yang didakwa berlaku antara 2020 hingga 2022.

Bekas pemain Arsenal itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan perbicaraan dijadual berlangsung tahun depan.

Pihak Imigresen, Pelarian dan Kewarganegaraan Kanada (IRCC) pula enggan mengulas secara khusus mengenai kes Partey, namun menegaskan keselamatan rakyat negara itu kekal menjadi keutamaan.

"Itulah sebabnya IRCC melaksanakan peraturan secara konsisten tanpa pengecualian, tanpa mengira kewarganegaraan, profil atau peranan seseorang dalam kejohanan.

"Jika pegawai percaya seseorang individu boleh menimbulkan risiko keselamatan, mereka boleh memutuskan untuk menolak kemasukannya," menurut kenyataan agensi berkenaan.

Walaupun tidak dapat beraksi di Toronto, Partey masih layak diturunkan dalam baki dua perlawanan kumpulan Ghana menentang England dan Croatia yang akan berlangsung di Amerika Syarikat.

Pihak berkuasa AS memaklumkan mereka menyedari kes mahkamah yang sedang dihadapi pemain itu, namun beliau belum disabitkan dengan sebarang kesalahan jenayah dan dibenarkan memasuki negara berkenaan selepas memperoleh visa.

Bagaimanapun, isu sama berpotensi kembali menghantui Ghana sekiranya mereka mara ke pusingan kalah mati yang melibatkan perlawanan di Kanada.

Kes Partey menjadi antara beberapa isu imigresen yang timbul sepanjang Piala Dunia 2026 yang dianjurkan bersama oleh Kanada, AS dan Mexico, selepas beberapa pegawai serta penyokong dari negara tertentu turut dilaporkan berdepan masalah kemasukan ke negara penganjur.

Sebelum ini, pengadil berprofil tinggi Afrika dari Somalia, Omar Abdulkadir Artan dihalang memasuki AS meskipun memiliki visa yang sah.

View Original Article