Bekas pemain badminton negara didakwa tipu lebih RM58,000

8 Jul 2022 • 12:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Seorang bekas pemain badminton kebangsaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas dua pertuduhan menipu berkaitan pelaburan yang tidak wujud melibatkan kerugian berjumlah RM58,029.53 pada Jun dan November 2016.

Lin Woon Fui, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Mengikut pertuduhan, Woon Fui didakwa menipu seorang lelaki berusia 39 tahun dengan memperdaya individu berkenaan untuk mempercayai dia boleh melipatgandakan wang dengan cara pertaruhan dalam talian dan pelaburan saham tidak wujud sehingga mendorong mangsa memindahkan wang tersebut ke dalam akaun tertuduh dan isterinya.

Woon Fui didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Setia Alam dekat sini, antara 6 Jun dan 29 Nov 2016 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irna Julieza Maaras menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM pada 1 hari bulan setiap bulan.

Muhamad Anas kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM17,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan pada setiap bulan.

Woon Fui membayar jaminan tersebut.

Mahkamah juga menetapkan 17 Ogos ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Tertuduh pernah memenangi pingat gangsa dalam acara badminton berpasukan lelaki di Sukan Asia 2006. - Bernama