
Bekas Pemain EPL, George Baldock Ditemui Meninggal Dunia
Bekas pemain pertahanan Sheffield United, George Baldock dilaporkan meninggal dunia pada usia 31 tahun, lapor BBC Sport.
Difahamkan, mayat pemain antarabangsa Greece itu ditemui pada jam 10.30 malam waktu tempatan dalam keadaan sudah tidak bernyawa di sebuah kolam renang rumahnya di Glyfada, selatan Athens.
Menurut laporan polis tempatan, hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui ke atas mayat Baldock dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati lemas.
Berita pemergian Baldock nyata mengejutkan komuniti bola sepak dunia dengan beberapa kelab bola sepak dan pemain mengucapkan takziah untuk mendiang.
“Kami dengan rasa sedih memaklumkan George Baldock telah menghembuskan nafas terakhir. Sebagai ahli keluarga, kami terkejut mendapat tahu pemergian mendiang,” maklum keluarga Baldock dalam satu kenyataan.
Baldock baru sahaja menandatangi kontrak tiga tahun bersama kelab Greece, Panathinaikos, sewaktu jendela perpindahan pada Mei lalu dan telah membuat empat penampilan.
Sementara itu, bekas pasukannya, Sheffield United, turut mengucapkan takziah terhadap pemergiannya dalam satu hantaran.
“Takziah untuk ahli keluarga dan sahabat-sahabat terdekat yang mengenali Baldock,” tulis kelab itu.
Manakala kelab terkini mendiang, Panathinaikos, turut terkejut dengan berita pemergian pemain mereka itu.
“Keluarga Panathinaikos menzahirkan ucapan takziah terhadap keluarga mendiang. Kami sepasukan sentiasa bersama keluarga George Baldock dalam waktu yang sukar ini,” luah kenyataan kelab itu.
Karier Bola Sepak George Baldock
Baldock memulakan kerjayanya bersama kelab divisyen bawahan England, MK Dons pada 2009 dan telah membuat lebih 100 penampilan.
Mendiang pernah dipinjamkan ke beberapa kelab termasuk Northampton dan Oxford United, sebelum menyertai Sheffield United pada 2017.
Sewaktu bersama kelab itu, Baldock telah membuat 219 penampilan termasuk menjadi tonggak penting membawa Sheffield United dipromosikan ke Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 2019 dan 2023.
Sumber: BBC Sport
The post Bekas Pemain EPL, George Baldock Ditemui Meninggal Dunia appeared first on Siakap Keli.


