
Kota Kinabalu: Seorang bekas pembantu jurutera awam berusia 38 tahun dipenjara dua tahun dan denda RM20,000 atas dua pertuduhan menyalahgunakan jawatan untuk memilih syarikat adiknya bagi projek penyelenggaraan jalan raya.
Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga menjatuhkan hukuman itu kepada Herwan Malik selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah terhadap Herwan pada Selasa.
Bagi pertuduhan pertama, Herwan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM10,000 atau penjara tiga bulan kerana menyalahgunakan jawatannya sebagai ahli jawatankuasa dalam membuat keputusan mengenai sebut harga pejabat daerah Kota Marudu untuk memilih Pemborong Sri Tassha yang dimilik adiknya Rozanah Malik, 32, untuk menjalankan projek penyelenggaraan jalan di sepanjang Jalan Pertanian di Kg Sungai Laut di Kota Marudu.
Kesalahan itu berlaku antara 8 pagi dan 5 petang pada 28 Februari 2013 di Pejabat Daerah Kota Marudu.
SPONSORED CONTENT Daily Express members: Enjoy 1 for 1 signature cocktails and more at Hyatt Centric Kota Kinabalu Kota Kinabalu: DAILY EXPRESS is partnering with Hyatt Centric Kota Kinabalu to offer an exclusive deal for our members. Read more Bagi pertuduhan kedua, Herwan dipenjara 12 bulan lagi dan denda RM10,000 atau penjara tiga bulan kerana menyalahgunakan kedudukannya untuk memberikan projek penyelenggaraan jalan di Kg Pendawar, Kota Marudu kepada syarikat sama di tempat sama pada jam 3 petang, 30 April, 2014.
Kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali jumlah terlibat atau RM10,000, mana-mana jumlah lebih tinggi.
Mahkamah memerintahkan Herwan menjalani hukuman penjara itu serentak.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Herwan untuk menangguhkan pelaksanaan sementara menunggu rayuan terhadap keputusan itu ke Mahkamah Tinggi.
Tiga belas saksi pendakwaan dan hanya seorang saksi pembelaan memberi keterangan dalam perbicaraan itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah manakala peguam Shahlan Jufri mewakili Herwan yang dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
