Bekas Pengarah JBPM Labuan didakwa terima rasuah

LocalPolitics
5 Feb 2026 • 4:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ismaidi (dua dari kanan) ketika hadir ke Mahkamah Labuan.

LABUAN – Bekas Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan didakwa menerima suapan berjumlah RM10,000 berhubung kerja penyelenggaraan kuarters jabatan tersebut pada tahun 2020.

Bagaimanapun, tertuduh, Ismaidi Ismail, 56, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elsie Primus di Mahkamah Khas Rasuah Labuan, di sini pada Khamis.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu merupakan seorang penjawat awam iaitu Pengarah JBPM Labuan didakwa menerima suapan berbentuk wang tunai berjumlah RM10,000 daripada sebuah syarikat sekitar Mei 2020.

Wang suapan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan kerja-kerja penyelenggaraan serta baik pulih kuarters jabatan berkenaan.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan deposit RM10,000 serta seorang penjamin.

Selain itu, tertuduh turut diarahkan melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat setiap dua bulan sekali dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Mac depan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Joe Randy Juster manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved