Bekas Pengerusi Bintulu Port, Abdul Mutalib Alias dilantik sebagai Pengerusi Icon Offshore berkuat kuasa 6 Jun 2023
zulfadli
06/06/2023 - 15:02
KUALA LUMPUR 6 Jun - Icon Offshore Bhd melantik Datuk Abdul Mutalib Alias sebagai pengerusi bukan bebas bukan eksekutif penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu, berkuat kuasa 6 Jun 2023 selepas Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda bersara daripada jawatan itu pada hari yang sama.
Dalam makluman syarikat di Bursa Malaysia hari ini, Abdul Mutalib sebelum ini berkhidmat sebagai pengerusi bukan bebas bukan eksekutif Bintulu Port Holdings Bhd.
Katanya, beliau juga pernah berkhidmat dalam lembaga pengarah Bank Rakyat, dan kini menganggotai lembaga pengarah Ekuiti Nasional Bhd sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutif.
"Abdul Mutalib memulakan kerjayanya dalam pelaburan dan perbankan komersial dan beliau adalah Naib Presiden Perbankan Pelaburan Chase Manhattan Bank dari 1994 hingga 2000," katanya.
Beliau kemudiannya berhijrah ke sektor awam dan berkhidmat di pelbagai kementerian termasuk Kementerian Kerja Raya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dari 2000 hingga 2011.
Abdul Mutalib sebelum ini pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).
Pada 1 Jun 2023, Raja Arshad memulakan perkhidmatannya sebagai pengerusi kumpulan salah satu syarikat pengurusan dana terbesar negara, Permodalan Nasional Bhd. - DagangNews.com




