Bekas pengerusi MPKK direman disyaki salah guna kuasa

LocalPolitics
17 Apr 2025 • 3:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Bekas pengerusi MPKK direman tujuh hari selepas disyaki salah guna kuasa.

SEREMBAN - Seorang bekas Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri ini direman tujuh hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalah guna kuasa dengan mengeluarkan wang milik MPKK bagi tujuan peribadi.

Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 60-an itu dikeluarkan Majistret, Fairuz Syuhada Amran selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

Reman terhadap suspek bermula pada Khamis sehingga 24 April depan.

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 6 petang pada Khamis ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2023 dengan mengeluarkan kira-kira RM10,000 daripada akaun bank milik MPKK bagi tujuan peribadi.

“Wang di dalam akaun tersebut merupakan dana geran daripada kerajaan negeri yang sepatutnya digunakan untuk melaksanakan projek atau program di kampung tersebut di samping menggerakkan penglibatan komuniti setempat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.