
MELAKA: Seorang bekas pengurus besar sebuah anak syarikat kerajaan negeri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini, atas pertuduhan salah guna kuasa dengan melantik anak perempuannya memegang jawatan di syarikat yang sama.
Tertuduh, Datuk Abu Bakar Abdul didakwa menggunakan jawatannya apabila terlibat dalam proses temuduga pemilihan jawatan dalam melantik anak perempuannya Nurnadiah Abu Bakar ke jawatan Penolong Pegawai Sumber Manusia, di Syarikat Panorama Melaka Sdn Bhd.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Syarikat Panorama Melaka Sdn Bhd, Lot 19B & 19C Zone B, Bangunan Terminal, Melaka Sentral, Jalan Tun Abdul Razak di sini pada 27 Dis 2018.
Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan sebanyak RM15,000, selain mengemukakan syarat tambahan iaitu pasport diserah kepada mahkamah serta perlu melapor diri ke pejabat SPRM sebulan sekali.
Peguam tertuduh Zulfahmi Abu Bakar bagaimanapun memohon agar jaminan dikurangkan kerana tertuduh merupakan pesara dan tidak mempunyai pendapatan tetap selain masih menanggung dua anak yang masih bersekolah.
Hakim Elesabet Paya Wan kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dan membenarkan syarat tambahan dikemukakan Mohamad Azriff Firdaus selain menetapkan 15 Mac depan untuk sebutan semula kes. -Bernama


