ALOR SETAR - Seorang bekas penjawat awam dan seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan menyeludup 77 migran pelbagai warganegara, bulan lalu.
Tertuduh, Aliff Ezry Ismail, 35, dan Muhammad Izzuddin Mustafa, 38, mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama mengangkut 77 migran menggunakan sebuah lori jenis Isuzu berwarna merah jambu yang bertutup kanvas.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di tepi jalan berhampiran lampu isyarat Simpang 3, Taman Pelangi di sini kira-kira jam 5.45 pagi pada 14 Mac 2026.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 8 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Watchira Wong Rui Fern.
Aliff Ezry tidak diwakili peguam manakala Muhammad Izzuddin pula diwakili peguam, Amnach a/l Ee Niam.


