Bekas Perdana Menteri Pakistan Dihukum Penjara Tiga Tahun

5 Aug 2023 • 5:39 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Imran Khan. - gambar fail

ISLAMABAD –Imran Khan dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun oleh sebuah mahkamah di Islamabad, selepas didapati bersalah tidak mengisytiharkan keuntungan diperolehinya daripada penjualan hadiah negara.

Bekas Perdana Menteri Pakistan itu yang menafikan dakwaan berkenaan berkata akan merayu keputusan tersebut.

Imran kemudian ditahan di kediamannya di Lahore selepas hukuman berkenaan dijatuhkan.

Mahkamah sama turut mengenakan denda sejumlah 100,000 rupee (RM 1,590) ke atasnya.

Bekas pemain kriket itu menjadi Perdana Menteri pada 2018 selepas memenangi pilihan raya  tetapi beliau kemudian disingkirkan melalui undi tidak percaya tahun lepas.

Sebaik keputusan mahkamah itu diumumkan, orang awam mula melaungkan kata-kata “Imran Khan seorang pencuri’ di luar bangunan.

Beliau berdepan lebih 100 pertuduhan sejak disingkirkan pada April 2022, yang disifatkannya sebagai bermotifkan politik.

Selepas itu, selama beberapa bulan beliau mengelakkan diri daripada ditahan pihak berkuasa, kadang kala penyokongnya bertempur dengan polis untuk menghalangnya daripada ditahan.

Pada Mei lalu, Imran ditahan kerana tidak meghadiri prosiding di mahkamah seperti diarahkan, tetapi dilepaskan selepas penahanan itu diisytiharkan sebagai tidak sah.

Susulan itu, partinya Tehreek-e-Insaf, diasak teruk oleh pihak berkuasa.

Tentera Pakistan yang mempunyai peranan besar dalam politik, dikatakan menjadi dalang di sebaliknya.

Malah, ramai penganalisis yang percaya kejayaan Imran pada pilihan raya 2018 dibantu kuasa tentera.

Sejak disingkirkan, Imran sentiasa berkempen untuk pilihan raya yang awal diadakan namun sabitan yang dikenakan terhadapnya menyebabkan beliau tidak layak bertanding dalam pilihan raya, berkemungkinan untuk selama-lamanya.

Parlimen Pakistan akan dibubarkan pada 9 Ogos ini, dan pentadbiran negara akan berada bawah kerajaan sementara sehingga pilihan raya selesai.

Tarikh pilihan raya masih belum diumumkan namun mengikut perlembagaan, ia seharusnya dijalankan pada awal November ini. - Agensi.