
Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dibebaskan lebih awal dari penjara pada Isnin, sekali gus membuka kemungkinan beliau kembali menjadi tumpuan dalam arena politik negara itu, lapor AFP.
Bilionair telekomunikasi berusia 76 tahun itu menjalani hukuman penjara selama lapan bulan daripada hukuman asal setahun atas kesalahan rasuah dan kini diwajibkan memakai alat pemantauan elektronik sepanjang tempoh parol sehingga September.
Thaksin dilihat memeluk ahli keluarganya di luar penjara Bangkok, sambil disambut ratusan penyokong yang memakai baju merah ikonik mereka. Ada antaranya dilaporkan menjerit “kami sayang Thaksin”.
“Dia mungkin akan berdiam diri untuk beberapa bulan, tetapi dia tidak akan meninggalkan politik,” kata Janthana Chaidej, 70, yang mengambil cuti daripada kerjanya sebagai tukang masak restoran untuk menunjukkan sokongan kepada Thaksin.

Tokoh politik berpengaruh itu juga masih berdepan beberapa kes jenayah lain yang belum selesai, sekali gus berpotensi menghalangnya daripada membuat ucapan politik terbuka bagi mengelakkan risiko pendakwaan lanjut, menurut penganalisis.
“Saya masuk ‘hibernasi’ selama lapan bulan,” kata Thaksin kepada wartawan dari tingkap belakang keretanya di luar rumahnya di Bangkok sambil menambah beliau berasa lega selepas dibebaskan.
Bekas perdana menteri itu turut dipasang alat pemantauan elektronik di pejabat parol Bangkok pada pagi Isnin dan tidak dibenarkan keluar dari ibu negara tanpa kebenaran, menurut kenyataan jabatan penjara Thailand.
Pulang dengan senyuman
Jentera politik Thaksin sejak dua dekad lalu menjadi pencabar utama kepada kelompok elit pro-tentera dan pro-diraja Thailand yang melihat pendekatan populis beliau sebagai ancaman kepada susunan sosial tradisional negara itu.
Parti Pheu Thai serta parti-parti terdahulu yang berkait dengannya merupakan antara parti politik paling berjaya di Thailand pada abad ke-21, dengan keluarga Shinawatra melahirkan empat perdana menteri serta mendapat sokongan besar daripada pengundi luar bandar.
Namun, Pheu Thai mencatat keputusan pilihan raya paling buruk dalam sejarahnya pada Februari lalu apabila jatuh ke tempat ketiga, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa depan dinasti politik Thaksin.
Baca juga:
PM Thailand Ucap Terima Kasih Kepada Malaysia Bantu Bebaskan Rakyat Thailand Di Gaza
Anutin Ambil Alih Jawatan PM Thailand Selepas Perkenan Diraja
Walau bagaimanapun, penyertaan Pheu Thai dalam kerajaan campuran pimpinan perdana menteri konservatif, Anutin Charnvirakul membuka kemungkinan kepada kebangkitan semula politik Thaksin.
"Bagi penyokong tegar beliau, pembebasan Thaksin akan mengukuhkan Pheu Thai dalam jangka pendek kerana orang ramai merasakan pemilik sebenar Pheu Thai sudah kembali”, kata pensyarah sains politik Wanwichit Boonprong.
Namun, beliau berkata musuh lama Thaksin dalam kalangan konservatif dijangka akan terus menyokong Anutin kerana beliau memiliki kepercayaan golongan elit yang tidak dimiliki Thaksin.
"Golongan konservatif anti-Thaksin juga dijangka mahu melihat beliau menjauhkan diri daripada politik," tambah Wanwichit.
Anutin ketika ditemui pemberita berkata beliau gembira untuk Thaksin dan keluarganya.
“Dia pulang ke rumah dengan senyuman,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau mungkin akan bertemu dengan Thaksin pada masa akan datang, Anutin tidak menolak kemungkinan itu.
“Bangkok tidaklah sebesar mana. Bertemu orang yang kita kenal dan hormati bukan sesuatu yang pelik,” katanya.
Terdahulu, Jabatan penjara Thailand bulan lalu mengumumkan bahawa Thaksin akan dibebaskan secara parol atas faktor usia dan kerana baki hukuman yang tinggal kurang daripada setahun.
Thaksin dipenjarakan selepas Mahkamah Agung memutuskan tahun lalu bahawa beliau secara tidak wajar menjalani hukuman tahun 2023 di suite hospital berbanding di sel penjara.
Beliau pernah dipilih sebagai perdana menteri Thailand pada 2001 dan sekali lagi pada 2005 sebelum pemerintahannya ditamatkan melalui rampasan kuasa tentera.
Selepas pulang ke Thailand pada Ogos 2023, beliau dijatuhi hukuman penjara lapan tahun atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.
Namun, beliau terus dibawa ke bilik khas hospital atas alasan kesihatan, sebelum hukumannya dikurangkan kepada setahun melalui pengampunan diraja dan akhirnya dibebaskan menerusi skim pembebasan awal bagi banduan warga emas.
Masa kepulangan beliau serta pemindahan ke hospital yang berlaku ketika Pheu Thai membentuk kerajaan baharu mencetuskan syak wasangka awam mengenai kemungkinan wujudnya' perjanjian belakang tabir' dan layanan istimewa.
Mahkamah Agung pada September lalu memutuskan bahawa Thaksin sebenarnya tidak mengalami masalah kesihatan kritikal dan tempoh berada di hospital tidak boleh dikira sebagai menjalani hukuman penjara, menyebabkan beliau dihantar ke penjara bagi menjalani hukuman setahun itu.
Thaksin merupakan antara lebih 850 banduan yang diluluskan untuk pembebasan awal.
Anak perempuannya yang juga bekas perdana menteri, Paetongtarn Shinawatra berkata kepada wartawan pada Khamis selepas bertemu Thaksin di penjara bahawa mereka tidak membincangkan apa-apa mengenai politik.
Sementara itu, anak saudara Thaksin, Yodchanan Wongsawat yang menjadi calon utama Pheu Thai menjelang pilihan raya Februari lalu, telah dilantik sebagai menteri pengajian tinggi dalam kabinet Anutin.

