
SEBIJI kelapa yang hanyut di laut mungkin tidak membawa sebarang makna kepada kebanyakan orang.
Namun, ia berbeza buat Anna Amrina Sayra Ahmad Basri, 36, apabila mengubah idea itu menjadi sebuah penginapan unik di perairan Tanjung Rhu, Langkawi, Kedah.
Wanita kelahiran Pulau Pinang yang membesar serta bersekolah di Langkawi itu kini dikenali sebagai pengasas Coconest iaitu penginapan terapung berbentuk kelapa yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Coconest direalisasikan bersama suaminya, Muhammad Hakim Azly, 37, selepas mereka terpilih sebagai antara 100 pemenang global Airbnb OMG! Fund 2022 sekali gus menerima AS$100,000 (RM470,000) untuk merealisasikan projek berkenaan.
Berkongsi kisahnya bersama K-Wanita, Reena mengakui idea tersebut bermula daripada kecintaan terhadap kampung halaman dan kehidupannya yang dekat dengan laut.
Selepas menamatkan pengajian dalam bidang pengurusan hospitaliti di Taylor’s University, dia pernah bekerja dalam jualan automotif di Petaling Jaya termasuk mengendalikan jenama mewah seperti Jaguar dan Bentley.
“Beberapa tahun berada dalam bidang itu mengajar saya tentang dunia perniagaan, pelanggan dan keberanian membuat keputusan, selain membuktikan kemampuan bersaing dalam industri yang didominasi lelaki.
“Namun, kehidupan di kota tidak pernah benar-benar membuatkan hati saya tenang kerana sejak kecil, saya sudah menyimpan impian untuk melakukan sesuatu buat kampung tempat saya membesar, Tanjung Rhu,” katanya.

Tidak lama kemudian, peluang membawanya ke dunia penerbangan apabila seorang rakan menawarkan pekerjaan sebagai kru kabin AirAsia, yang pada awalnya disangkakan hanya melibatkan penerbangan domestik.
Sebaliknya, pengalaman sebagai pramugari itu membuka peluang lebih luas apabila Reena kemudiannya ‘terbang’ ke pelbagai destinasi antarabangsa.
Dalam perjalanan itulah dia menemukan satu lagi kecintaan yang akhirnya mengubah hala tuju hidupnya iaitu aktiviti stand-up paddleboarding (papan dayung berdiri) ketika berada di Australia.
“Pengalaman berdiri di atas papan sambil menyusuri permukaan air membuatkan saya jatuh cinta dengan kebebasan, ketenangan dan hubungan manusia dengan alam.
“Bagi saya, paddleboarding satu kebebasan. Kita boleh berdiri, duduk atau baring. Ia bukan tentang kelajuan tetapi aliran,” katanya.

Sejak itu, timbul keinginan untuk membawa pengalaman tersebut pulang ke Langkawi dan memperkenalkan sisi lain pulau legenda itu kepada pelancong.
Keinginan berkenaan semakin kuat ketika Reena banyak menghabiskan masa di Amerika Syarikat bersama suaminya, seorang arkitek yang pernah menetap lama di negara berkenaan.
Reena akhirnya kembali ke Langkawi dan membangunkan pengalaman pelancongan berasaskan alam menerusi perniagaan H2Ocean.
Bermula dengan beberapa papan paddleboard, dia memetakan laluan sendiri untuk membawa pengunjung meneroka gua kecil, kawasan bakau dan lokasi tersembunyi di sekitar Tanjung Rhu.
Pengalaman itu turut membuatkan Reena mengenali perairan berkenaan dengan lebih dekat, termasuk perubahan pasang surut, keadaan angin dan potensinya untuk pengalaman penginapan yang berbeza.
“Saya mahu memperkenalkan Tanjung Rhu kepada dunia kerana tidak semua pelancong yang datang ke Langkawi mengetahui keunikan kawasan ini,” katanya.

di depan binaan idea mereka berdua itu.
Daripada situ, timbul impian untuk membangunkan penginapan terapung yang membolehkan tetamu menikmati suasana laut dengan lebih dekat tanpa perlu kembali ke daratan selepas melakukan aktiviti rekreasi.
“Peluang merealisasikan impian itu muncul pada 2022 apabila suami menemui pertandingan Airbnb OMG! Fund yang menawarkan dana kepada idea penginapan luar biasa.
“Berbaki dua hari sebelum tarikh tutup penyertaan, suami memberanikan diri menghantar cadangan reka bentuk penginapan berinspirasikan sebiji kelapa yang terapung di laut,” katanya.
Tidak disangka, konsep itu terpilih sebagai antara 100 pemenang global Airbnb OMG! Fund, sekali gus melayakkan mereka menerima hadiah wang tunai yang dijanjikan.
Kemenangan itu menjadi titik perubahan apabila idea yang sebelumnya hanya berupa konsep perlu diterjemahkan kepada sebuah struktur sebenar yang selamat dan berfungsi.
Sebagai anak sulung daripada empat beradik, Reena mengakui membina rumah berbentuk kelapa di tengah laut jauh lebih teknikal berbanding mendirikan bangunan di atas tanah.
Pasangan itu perlu memikirkan kestabilan struktur, ketahanan bahan terhadap air masin, reka bentuk serta kemudahan untuk memastikan tetamu selesa.
“Logistik turut menjadi cabaran kerana bahan binaan perlu dibawa ke lokasi menggunakan bot.
“Kami juga perlu mengurus tapak terapung dan mendapatkan kelulusan berkaitan sebelum projek dapat dibangunkan sepenuhnya,” katanya.
Selepas kira-kira lapan bulan melalui proses perancangan dan pembinaan, Coconest akhirnya siap pada 2023 dan mula menerima tetamu.
Bahagian luarnya menyerupai tempurung kelapa dengan tekstur seperti sabut, manakala ruang dalaman menggunakan warna putih yang diinspirasikan daripada isi buah tersebut.
Tetamu perlu menaiki bot untuk sampai ke Coconest, sekali gus memberikan pengalaman berbeza berbanding penginapan konvensional di daratan.
Namun, mengendalikan penginapan di atas air memerlukan perhatian berterusan, khususnya dari aspek keselamatan dan penyelenggaraan.
Antara cabaran unik ialah pertumbuhan siput pada bahagian bawah tong plastik biru yang digunakan sebagai pelampung platform.
“Setiap tahun kami perlu membersihkan siput-siput ini untuk memastikan struktur kekal stabil.
“Kerja pembersihan dilakukan dua kali setahun kerana siput yang terkumpul boleh menambah berat pada platform terapung,” katanya yang kini memfokuskan kerjaya kepada perniagaan.
Menariknya juga, siput yang dikumpulkan tidak dibuang begitu sahaja, sebaliknya diberikan kepada pekerja atau penduduk setempat untuk dijadikan makanan.
Selain penyelenggaraan, sistem tenaga juga menjadi perhatian kerana Coconest menggunakan solar sebagai sumber utama operasi.
Malah, pasangan itu perlu menambah kira-kira AS$8,000 (RM33,000) menggunakan wang sendiri bagi melengkapkan sistem panel solar ketika merealisasikan projek berkenaan.
Bagi memastikan pengalaman kekal eksklusif, Reena dan suami mengehadkan bilangan tetamu mengikut kapasiti setiap pakej.
“Kami mahu tetamu mencipta memori manis untuk dikenang pada masa hadapan dan kembali lagi di kemudian hari,” katanya yang kini mempunyai tiga unit penginapan dengan kapasiti keseluruhan 10 tetamu pada satu-satu masa.
Coconest turut menyediakan kemudahan memasak bagi tetamu yang mahu menikmati pengalaman seperti berkhemah, selain menawarkan aktiviti rekreasi seperti papan dayung berdiri, kayak, basikal air, pendakian dan snorkeling.
Bagi Reena, impiannya tidak terhenti pada perniagaan penginapan kerana dia mahu lebih ramai pelancong mengenali keunikan Tanjung Rhu. Kawasan itu katanya, mempunyai tarikan semula jadi yang wajar diketengahkan, termasuk gua kecil, kawasan bakau tersembunyi dan laluan pendakian.
Mengakhiri perkongsian, Reena dan suami menyimpan hasrat memperkenalkan inisiatif pemuliharaan terumbu karang serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan kelak.
The post Bekas pramugari perintis penginapan kelapa terapung appeared first on Kosmo Online.

