Bekas presiden pulang ke Honduras selepas diampun Trump

WorldPolitics
28 Jul 2026 • 12:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bekas presiden pulang ke Honduras selepas diampun Trump

COMAYAGUA: Bekas Pre­si­den Honduras, Juan Orlando Hernandez, yang menjalani ­hukuman penjara 45 tahun di Amerika Syarikat (AS) atas ke­salahan pengedaran dadah sebelum diberikan pengampunan oleh Pre­siden Donald Trump tahun lalu, pulang ke negara itu kelmarin.

Hernandez tiba dengan pesawat persendirian di kawasan berhampiran ibu negara, Tegucigalpa sebelum menghadiri satu perhimpunan bersama penyokong di Comayagua.

Berucap di sebuah ladang di hadapan ratusan penyokong, beliau mera­kamkan penghargaan kepada Trump atas pengampunan yang diberikan.

Menurut Hernandez, Trump menyifatkan sabi­tan terhadapnya sebagai ‘ketidakadilan besar’, se­lain mendakwa sistem kehakiman digunakan se­bagai senjata politik ter­hadapnya.

Pada 2024, sebuah mah­kamah AS mensabitkan beliau bersalah ke­rana membantu menyeludup ratusan tan kokain ke AS dengan kerjasama ketua kartel dadah.

Bagaimanapun, dalam langkah yang mengejutkan beberapa hari sebelum pilihan raya pre­siden Honduras tahun lalu, Trump memberikan pengampunan kepada Hernandez.

Hernandez dijadualkan hadir di mahkamah pada 3 Ogos bagi menghadapi pertuduhan penipuan dan pengubahan wang haram. 

Beliau bagaimanapun menafikan semua pertuduhan itu dan mendakwa masih menjadi mang­sa penganiayaan politik.

Bekas presiden itu didakwa menyeleweng dana awam berjumlah AS$2 juta (RM8 juta) bagi membiayai kempen pilihan raya presiden pertamanya.

Seorang hakim sebelum ini menggantung waran tangkap terhadap Hernandez selepas beliau bersetuju untuk hadir ke mahkamah secara sukarela. – AFP

 

The post Bekas presiden pulang ke Honduras selepas diampun Trump appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved