
KUALA LUMPUR - Tiga individu, termasuk termasuk dua pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan didakwa susulan siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sumber SPRM berkata, bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Hafizuddeain Jantan dan isterinya, Salwani Anuar masing-masing akan didakwa atas empat pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuala Lumpur, esok.
Menurut beliau, Hafizuddeain juga berdepan dua pertuduhan tambahan di bawah seksyen dan akta yang sama di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Shah Alam pada Jumaat.
“Salwani pula akan didakwa atas satu pertuduhan tambahan di bawah seksyen dan akta yang sama di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu Isnin depan,” katanya.
Sumber mendedahkan, SPRM juga telah memperoleh keizinan untuk mendakwa bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaafar di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuala Lumpur, Jumaat ini.
“Mohd Nizam akan didakwa atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung siasatan penyalahgunaan kuasa dan perkara melibatkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT).
“Beliau juga berdepan satu pertuduhan pecah amanah jenayah di bawah Seksyen 409 serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan,” katanya.
Jelas sumber, siasatan terhadap dua lagi pegawai kanan ATM kini berada di peringkat akhir dan kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat bagi tindakan selanjutnya.
“SPRM menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan semua perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa ditangani secara tegas, telus dan tanpa kompromi, selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya. - Getaran, 21 Januari 2026
