PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin memberitahu, seorang peniaga yang menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya, Jahidah Nordin sehingga koma, disifatkan sebagai kejam kerana menyebabkan mangsa menjadi ‘mayat hidup’ sejak lima tahun lalu.
Ketika membaca keputusan sebulat suara, Hakim, Datuk Noorin Badaruddin berkata, perbuatan Rosmaini Abd Raof, 43, sebagai suami amat zalim kerana serangan dibuat secara berterusan terhadap isterinya yang ketika itu sedang mengandung.
Beliau yang bersidang bersama Hakim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid berkata, perbuatan tersebut bukan sahaja menyebabkan mangsa berada dalam keadaan koma, malah memberi kesan kepada anak dalam kandungan.
Noorin berkata, berdasarkan keterangan, Rosmaini selaku perayu telah menghilangkan diri serta mengelak daripada berada di hospital yang menempatkan Jahidah, 48, ketika menerima rawatan selepas dicederakan.
Katanya, ini menunjukkan perayu sedar terhadap kesalahan yang dilakukan dan bukannya perlakuan individu tidak bersalah dalam situasi kecemasan.
“Mangsa menjadi ‘mayat hidup’ malah anak yang dilahirkan pula mengalami kecacatan serta kelewatan perkembangan.
“Mahkamah mendapati tahap keganasan yang dilakukan amat serius dan berada pada tahap paling kritikal.
“Keterangan perubatan juga menunjukkan mangsa mengalami kecederaan yang serius iaitu pendarahan otak, patah di pelbagai tulang, kerosakan neurologi yang teruk dan trauma teruk yang konsisten dengan serangan yang berkali-kali,” katanya.
Beliau berkata, keadaan mangsa tidak boleh dipulihkan dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada orang lain bagi mendapatkan keperluan asas kehidupan.
Katanya, keterangan impak mangsa juga amat menyayat hati apabila mangsa memerlukan penjagaan sepenuh masa selama bertahun-tahun tanpa sebarang harapan untuk pulih.
Bukan itu sahaja beliau berkata, ketika kejadian, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kecederaan serius.
Katanya, keadaan mangsa semakin merosot kepada keadaan vegetatif kekal malah kecederaan sedemikian tidak mungkin dilakukan sendiri oleh mangsa.
"Kami mendapati bahawa faktor-faktor pemberat yang amat ketara tidak diberikan pertimbangan yang sewajarnya. Akibatnya, hukuman 10 tahun penjara yang dijatuhkan adalah nyata tidak memadai," katanya.
Kesan daripada perbuatan perayu katanya, telah kemusnahan dua kehidupan iaitu mangsa dan anak kandung mereka.
Pada Isnin, Mahkamah Rayuan di sini, menaikkan hukuman penjara daripada 10 kepada 14 tahun terhadap Rosmaini.
Panel tiga hakim, dipengerusikan oleh Azman, membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengenakan hukuman lebih berat.
Pada 17 Jun 2021, Rosmaini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas satu pertuduhan, sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa dengan cara memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki di belakang badan isterinya itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin jam 6 pagi pada 4 Mei 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum, jika sabit kesalahan.
Jahidah yang juga bekas kakitangan sebuah jabatan kerajaan, dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor.
Jahidah dilaporkan selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021 dan kanak-kanak itu disahkan berstatus orang kurang upaya (OKU).






