
JAKARTA – Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia Indonesia, Immanuel Ebenezer atau Noel, menangis ketika dibawa penyiasat Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) selepas disahkan sebagai suspek kes pemerasan berkaitan pensijilan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (K3).
Dengan memakai rompi tahanan jingga serta bergari, Noel merayu agar diberikan pengampunan oleh Presiden Prabowo Subianto.
“Semoga saya mendapat pengampunan daripada Presiden Prabowo,” katanya di Ibu Pejabat KPK, semalam.
Beliau juga memohon maaf kepada Presiden, keluarga serta rakyat Indonesia.
“Saya memohon maaf kepada Presiden Prabowo, anak dan isteri saya serta seluruh rakyat Indonesia,” ujarnya.
Kes bermula sejak 2019
Siasatan KPK mendapati amalan pemerasan itu telah berlaku sejak 2019 dengan bayaran rasmi sijil K3 hanya Rp275,000 (RM83). Namun, syarikat dipaksa membayar sehingga Rp6 juta (RM1,800).
Hasil siasatan mendapati dana terkumpul mencecah Rp81 bilion (RM24.5 juta), termasuk Rp3 bilion (RM900,000) yang diterima Noel pada Disember 2024.
Ketua KPK, Setyo Budiyanto berkata wang berkenaan disalurkan kepada beberapa pihak, termasuk Noel selaku penyelenggara negara.
Nafi ditahan dalam OTT
Noel menafikan dirinya ditahan menerusi operasi tangkap tangan (OTT) KPK, sebaliknya menyifatkan kes terbabit bukan pemerasan.
“Saya ingin jelaskan bahawa saya tidak ditahan melalui OTT. Kes saya bukan kes pemerasan, supaya tidak wujud naratif kotor yang memburukkan saya,” katanya.
Beliau kini berdepan tuduhan mengikut Pasal 12 huruf (e) dan/atau Pasal 12B Undang-Undang Tipikor bersama Pasal 64 ayat (1) KUHP serta Pasal 55 ayat (1) ke-1 KUHP. – The Malaysian Update
Sumber : CNN Indonesia
The post Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia Menangis Ditahan KPK, Mohon Pengampunan Presiden Prabowo appeared first on The Malaysian Update.


