Bekas Timbalan Pengerusi T7 Global, Tan Kean Soon didakwa tipu lebih RM10 juta

LocalBusiness & Finance
21 Oct 2026 • 12:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bekas Timbalan Pengerusi T7 Global, Tan Kean Soon didakwa tipu lebih RM10 juta Image from: Bekas Timbalan Pengerusi T7 Global, Tan Kean Soon didakwa tipu lebih RM10 juta amree21/10/2026 - 12:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Okt – Bekas Timbalan Pengerusi Eksekutif T7 Global Berhad, Tan Sri Tan Kean Soon, didakwa atas empat pertuduhan penipuan melibatkan lebih RM10 juta, dengan alasan kononnya wang itu akan diserah kepada polis bagi menyelesaikan kes pengubahan wang haram.

 

Bagaimanapun menurut laporan, beliau mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan jenayah tersebut selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azrul Darus.

 

Mengikut pertuduhan, Kean Soon, 63, didakwa menipu ahli perniagaan, Datuk Keh Chuan Seng, dalam empat kejadian berasingan dengan membuatnya percaya beliau boleh membantu menyelesaikan pembekuan akaun bank peribadi dan korporat oleh pihak polis serta siasatan pengubahan wang haram.

 

 

 

 

 

 

Kata laporan itu, pertuduhan tersebut melibatkan wang tunai berjumlah RM5.5 juta dan S$1.5 juta (kira-kira RM4.79 juta), menurut dokumen pertuduhan berkenaan, dengan kesalahan yang didakwa berlaku pada Mac 2025.

 

Kean Soon meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif kumpulan tersebut berkuat kuasa serta-merta pada 31 Mac 2025, dengan memberi alasan peribadi untuk pengunduran itu, menurut pengumuman syarikat berkenaan.

 

T7 Global_DagangNews2026

 

T7 Global dalam kenyataannya pada ketika itu berkata, pihak Lembaga Pengarahnya sudah menerima peletakan jawatan berkenaan dan menegaskan perubahan tersebut tidak menjejaskan operasi kumpulan.

 

Pengerusi Eksekutif T7 Global, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani N Hassan Thani, yang juga pemegang saham terbesar kumpulan, akan terus diberikan amanah menerajui syarikat tersebut, menurut kenyataan berkenaan.

 

Syarikat tersebut merupakan penyedia rumusan tenaga dan perindustrian yang beroperasi di Asia, dengan pelanggannya terdiri daripada sektor minyak dan gas (O&G), aeroangkasa serta industri am.

 

 

 

 

 

 

Menurut laporan tahunan T7 Global bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, Kean Soon mempunyai pengalaman luas selama lebih 30 tahun dalam pelbagai syarikat sektor huluan dan hiliran O&G.

 

Pemfailan terkini kepada Bursa Malaysia yang dirujuk dalam laporan terdahulu menunjukkan beliau pernah memegang kepentingan langsung sebanyak 8.215% dan kepentingan tidak langsung 4.812% dalam T7 Global. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved