
MELAKA - Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas pertuduhan menerima suapan berupa kenderaan mewah Range Rover Sport pada 2015.
Mohamad Ali membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Ali sebagai pengarah urusan sebuah syarikat pemaju didakwa menerima suapan berupa sebuah kenderaan jenis Range Rover Sport daripada seorang pengarah syarikat lain sebagai dorongan untuk menganugerahkan kerja-kerja subkontraktor bagi projek tambakan laut di Kota Laksamana.
Memetik laporan Bernama, beliau dituduh menerima suapan itu di pejabat syarikat berkenaan di Taman Kota Syahbandar, dalam daerah Melaka Tengah pada Jun 2015.
Mohamad Ali didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib memohon agar Mahkamah Sesyen Ayer Keroh menerima pakai syarat jaminan yang ditetapkan ketika tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 18 Jun lepas.
Syarat itu merangkumi jaminan sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang menghubungi mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Ahmad Akram turut memohon agar kes Mohamad Ali di Mahkamah Sesyen Shah Alam dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh dan dibicarakan bersama pertuduhan yang dikenakan hari ini.
Peguam tertuduh Md Yunos Shariff, tidak membantah permohonan tersebut.
Mahkamah menetapkan 14 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
Pada 18 Jun lepas, media melaporkan seorang bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 20 pertuduhan menerima rasuah berbentuk wang tunai berjumlah RM235,000 dan tiga kereta mewah berhubung projek tambak laut di Melaka. - 26 Jun, 2025
The post Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara didakwa terima suapan SUV mewah appeared first on Scoop.

