Bekas wartawan FMT ditahan di bawah Akta Hasutan

LocalPolitics
17 Jan 2026 • 8:56 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Bekas wartawan FMT, Rex Tan, yang meletak jawatan semalam, ditahan polis awal pagi ini selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Peguamnya, Rajsurian Pillai, mengesahkan Tan, 31, ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dengan siasatan dikendalikan Bukit Aman, lapor Malaysiakini.

Penahanan itu berpunca daripada soalan kontroversi yang dikemukakan Tan dalam forum antarabangsa bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors” yang menampilkan ahli politik Britain, George Galloway.

Selepas kecaman meluas di media sosial, Tan tampil memohon maaf secara terbuka. Beliau mengakui soalannya “tidak disusun dengan baik” dan gagal mengambil kira kesesuaian dengan wacana tersebut.

“Paling saya kesali tindakan menyentuh soal hubungan kaum Cina dan Melayu, sesuatu yang sama sekali tidak perlu dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Tan turut mengakui kegagalannya memenuhi tahap profesionalisme sebagai wartawan, sambil merayu orang ramai agar tidak menyerang FMT atau ahli keluarganya.

“Saya juga berharap tuan-tuan dan puan-puan mengambil kira persoalan saya tidak menggunakan istilah ‘aparteid’ dan tidak pernah bertujuan menyamakan keadaan masyarakat Cina di Malaysia dengan nasib rakyat Palestin.

Perkara ini telah saya jelaskan apabila saya diberi peluang kedua untuk bercakap, di mana saya menyatakan: ‘Saya sama sekali tidak berniat membandingkan keadaan semasa masyarakat Cina di Malaysia dengan nasib rakyat Palestin. Saya akui perbandingan sedemikian tidak masuk akal.’”

Mengulas penahanan itu, Timbalan Pengerusi Majlis Media Malaysia, Premesh Chandran, menyifatkan tindakan polis sebagai keterlaluan.

“Beliau sudah bersedia untuk bekerjasama dengan siasatan. Penahanan tidak perlu,” katanya, sambil menegaskan tindakan itu bersifat menghukum.

Majlis Media Malaysia sebelum ini mengecam perbuatan doxing, gangguan dan ugutan terhadap wartawan susulan kecaman terhadap Tan.

Permohonan maaf turut dikeluarkan FMT yang menegaskan pihaknya tidak mengetahui hasrat wartawan berkenaan untuk mengemukakan soalan itu dan tidak menyokong kenyataan terbabit. - 17 Januari 2026

The post Bekas wartawan FMT ditahan di bawah Akta Hasutan appeared first on Scoop.