‘Belajar Bahasa Isyarat Ini Umpama Belajar Menari’ – Ismail Izzani Akui Seronok Apabila Dapat Belajar Ilmu Baharu 

4 Apr 2023 • 1:22 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ismail Izzani - Gambar Fail

Penyanyi dan pelakon Ismail Izzani, mengakui memang mencabar bagi dirinya untuk mempelajari bahasa isyarat demi menjayakan drama baharu lakonannya berjudul ‘Bukan Hanya Sekadar Cinta’ yang bakal ditayangkan selepas bulan Ramadan ini.

Menurut Ismail yang mesra disapa sebagai Mael, walaupun diberi tugasan mempelajari bahasa isyarat dalam tempoh masa yang singkat, namun dia  berjaya membuktikan dirinya mampu melakukannya dengan baik.

“Sebenarnya, saya belajar bukannya seperti menghadiri kelas khas ke apa, saya cuma belajar dekat set, sebelum bermula penggambaran setiap hari.

“Jadi selepas membaca skrip bagi setiap episod, akan ada jurubahasa isyarat bertauliah yang berada di set untuk mengajar saya sebelum sejam bermulanya proses penggambaran.

“Cuba bayangkan, hanya ada sejam sahaja bagi saya untuk mempelajari bahasa isyarat bagi setiap babak yang memerlukan bahasa isyarat, memang mencabar,” katanya kepada Getaran.

image is not available
Ismail Izzani dan Sofia Dendroff, pelakon utama diri 'Bukan Hanya Sekadar Cinta'

Pemilik nama sebenar Ismail Izzani Zainal Nazeri, 23, berkata, menerusi drama adaptasi novel 28 episod itu, dia memegang watak utama buat kali pertama dan perlu mempelajari bahasa isyarat bagi mendalami wataknya dengan baik.

“Saya belajar bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan ibu saya  yang sudah tidak boleh bertutur di dalam drama ini,” katanya. 

Tambah Mael, walaupun pada mulanya, dia belajar bahasa isyarat hanya untuk drama berkenaan, namun lama-kelamaan  dia sendiri berasa lebih teruja untuk mempelajari sesuatu yang baharu.

“Pada mulanya, saya belajar bahasa isyarat bagi kehendak watak, namun bila saya dah mula memahaminya, saya rasa seronok pula untuk mempelajari ilmu baharu ini. 

“Mempelajari bahasa isyarat ini umpama kita belajar menari. Namun, bahasa isyarat ini memerlukan emosi dan pemahaman yang lebih daripada menari. Menari hanya memerlukan gerakan tangan.

“Jadi bila saya mula memahami dan mendalami bahasa isyarat ini, secara perlahan-lahan saya sedar sebenarnya seronok juga kalau kita mempelajari sesuatu yang susah, tetapi kita faham perkara itu, ia kemudian menjadi senang,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, penyanyi lagu ‘Kamu’ itu mengakui dirinya mengambil keputusan untuk berehat sementara waktu bagi bulan Ramadan ini.

Katanya, dia akan ke terbang ke Indonesia, selepas Hari Raya Aidilfitri ini, bagi proses rakaman suara untuk  single  baharunya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. – Getaran, 4 April 2023

View Original Article