Belajar muqaddam, Iqra’ tidak boleh diganti AI

LocalOpinion
12 Nov 2024 • 8:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Peranan guru dalam mengajar asas bacaan al-Quran ini tidak boleh ditolak meskipun pelbagai teknologi terkini seperti AI digunakan. Foto hiasan

MENGIMBAU kembali sejarah pembelajaran al-Quran di negara ini, agamawan dan para ulama pada awalnya mengajar kitab suci ini menerusi kaedah berhadapan dengan guru melalui buku muqaddam atau disebut juga kaedah al-Baghdadiyyah.

Muqaddam terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian pertama mengenai pengenalan kepada huruf hijaiyyah, manakala bahagian kedua pula bacaan surah-surah lazim dalam juzuk 30 bermula surah an-Nas hingga an-Naba’.

Selepas selesai menghabiskan semua pelajaran dalam huruf hijaiyyah dan surah lazim ini, barulah pelajar akan diteruskan kepada bacaan al-Quran bermula juzuk pertama atau lebih dikenali dengan nama ‘al-Quran besar’.

Pembelajaran al-Quran kemudiannya berkembang menerusi teknik bacaan buku Iqra’ yang diperkenalkan Ustaz H As’ad Humam dari Indonesia. Menurutnya, terdapat kelemahan dalam kaedah tradisional selain permintaan ramai untuk kaedah baharu menyebabkan beliau mencipta kaedah ‘Iqra’ – cara cepat membaca al-Quran’.

Kaedah ini disusun secara lengkap dan sempurna serta bersepadu dengan huruf yang seimbang dimulai dengan pembelajaran asas, rangkaian huruf-huruf hinggalah ke peringkat suatu ayat yang bermakna.

Ia terkandung dalam enam jilid buku dan membantu pelbagai peringkat umur dalam mempelajari al-Quran.

Apa yang penting dalam kaedah Iqra’ ini ialah latih tubi sebutan huruf dan ayat agar kemahiran membaca al-Quran dapat dikuasai sebelum melangkah kepada kitab al-Quran yang sebenar.

Kedua-dua kaedah buku muqaddam dan Iqra’ ini masih diguna pakai sehingga kini dengan tambahan kaedah lain yang diperkenalkan, yang bertujuan semata-mata untuk mengajar mengenali asas bacaan al-Quran ini.

Apa pun kaedah yang digunakan, semestinya ia mempunyai kelemahan dan kebaikan tersendiri. Namun di sebalik kaedah yang digunakan, semestinya ada seorang guru yang boleh membimbing anak-anak murid ini.

Peranan guru dalam mengajar asas bacaan al-Quran ini tidak boleh ditolak meskipun pelbagai teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) digunakan.

Kita mungkin boleh gunakan AI sebagai alat bantu belajar, namun untuk semata-mata berguru dengan ‘Ustaz AI’ dibimbangi akan menyimpang daripada ajaran sebenar agama Islam.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved