Belanjawan 2024: Cukai minimum global berpotensi halang syarikat asing melabur di Malaysia – Malacca Securities

Business & Finance
16 Oct 2023 • 12:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2024: Cukai minimum global berpotensi halang syarikat asing melabur di Malaysia – Malacca Securities

diyana

16/10/2023 - 12:18

KUALA LUMPUR 16 Okt - Pelaksanaan cukai minimum global berpotensi menjadi halangan untuk syarikat asing melabur di Malaysia.

Malacca Securities berkata rancangan kerajaan untuk melaksanakan cukai minimum global bagi syarikat dengan pendapatan global sekurang-kurangnya €750 juta (RM3.74 bilion) pada 2025 boleh mengekang syarikat global untuk melabur di Malaysia.

Selain daripada itu, barangan bernilai tinggi dan minuman manis mungkin mendapat kesan negatif di bawah senario tersebut.

Ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pelaksanaan cukai minimum pada 2025 setelah mengambil kira maklum balas daripada industri dan perkembangan terkini antarabangsa.

“Malaysia perlu seiring dengan piawaian percukaian antarabangsa, khususnya dalam mengekang aktiviti penghakisan asas cukai dan pemindahan keuntungan ke negara yang mempunyai kadar cukai yang rendah.

"Kerajaan juga akan terus memantau perkembangan cukai minimun global di peringkat antarabangsa," ujar beliau.

Malacca Securities berkata kecuali peningkatan SST daripada 6% kepada 8%, tiada kejutan besar dalam Belanjawan 2024.

Firma itu berkata, seperti biasa, belanjawan akan menyokong golongan berpendapatan rendah dengan bantuan tunai di bawah inisiatif Sumbangan Tunai Ramai dinaikkan kepada RM10 bilion daripada RM8 bilion untuk diagihkan kepada populasi lebih besar.

Di samping itu, firma tersebut berkata sektor yang meraih manfaat daripada Belanjawan 2024 adalah penternakan ayam, tembakau, kilang bir, teknologi, kenderaan elektrik, solar, pembinaan, harta benda dan bahan binaan.

Aktiviti pelancongan juga akan menerajui sektor perkhidmatan memandangkan ia telah meningkat 6% pada separuh pertama tahun ini, disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan serta makanan dan minuman (F&B) dan penginapan.

“Kami percaya subsektor perjalanan mendapat momentum pada separuh kedua berikutan ketibaan pelancong lebih tinggi dan perbelanjaan pengguna bertambah baik.

“Sementara itu, kami mendapati sektor pembinaan akan terus mencatat pertumbuhan kukuh untuk 2023 hingga 2024 masing-masing pada 6.3% hingga 6.8%,” tambahnya. - DagangNews.com