Belanjawan 2024 : Geran pendigitalan dorong PMKS guna teknologi 5G

Technology
14 Oct 2023 • 7:53 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menyediakan peruntukan pendigitalan dalam Belanjawan 2024 memberi peluang besar kepada kalangan usahawan, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk mengguna pakai serta memanfaatkan teknologi 5G dalam perniagaan masing-masing.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ViewQwest, Vignesa Moorthy berkata penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu misalnya bersedia menyokong perniagaan yang memanfaatkan geran ini dengan sambungan serta perkhidmatan keselamatan siber yang relevan.

“Ini bagi memastikan usaha mereka meningkatkan lagi aspek jualan digital, sistem inventori dan perakaunan dapat dilaksanakan dalam persekitaran yang selamat serta melindungi operasi daripada ancaman siber,” katanya dalam kenyataan semalam.

Belanjawan 2024 itu antara lainnya memperuntukan sejumlah RM100 juta dalam bentuk geran pendigitalan sehingga RM5,000 untuk 20,000 PMKS manakala pembiayaan RM900 juta untuk tujuan automasi dan pendigitalan bagi membantu PMKS mengguna pakai teknologi 5G dalam perniagaan mereka.

Moorthy juga menyifatkan ketersediaan atau penawaran fiber hampir ke seluruh negara serta teknologi 5G akan membolehkan komunikasi lebih pantas dan boleh dipercayai yang dapat memperkasa perusahaan untuk beroperasi dengan lebih lancar.

“Bagaimanapun, penawaran kesambungan yang lebih besar ini turut diiringi dengan kemungkinan ancaman siber yang hanya membuktikan kepentingan tumpuan ke atas keselamatan rangkaian perusahaan terbabit,” katanya.

Sementara itu, ahli Lembaga Pengurusan pengendali internet DE-CIX Malaysia, Wong Weng Yew menyifatkan Belanjawan 2024 berperanan penting dari segi membentuk masa depan kesalinghubungan negara ini.

Menurutnya, penekanan penting ke atas aspek prasarana infrastruktur digital dan pembangunan 5G turut menjadi peluang bagi meningkatkan kedudukan Malaysia dalam ekosistem teknologi global.

“Dalam usaha Malaysia mengorak perjalanan transformatif digital, sektor keselamatan siber pula akan membangunkan rangka kerja pengujian keselamatan siber 5G dan memacu kepakaran tempatan dalam teknologi 5G.

“Sehubungan itu, inisiatif ini dapat meningkatkan persiapan terhadap ancaman siber dan disokong pula dengan peruntukan sebanyak RM60 juta itu,” katanya. -Bernama