Belanjawan 2024: Kerajaan digesa beri tumpuan nasib lebih 500,000 pelajar tempatan di IPTS - PKIBM
zulfadli
09/10/2023 - 11:15
KUALA LUMPUR 9 Okt - Kerajaan digesa memberikan tumpuan serius terhadap nasib lebih 500,000 pelajar tempatan yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) melalui Belanjawan 2024 yang bakal dibentang pada Jumaat ini.
Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM), Amir Hamzah Md Isa berkata, pihaknya berharap Belanjawan 2024 yang berteraskan Memperkasa Ekonomi MADANI akan bersifat lebih inklusif dan mesra mahasiswa memandangkan lebih separuh daripada keseluruhan pelajar dalam ekosistem pendidikan tinggi berada di 403 buah IPTS di seluruh negara.
Beliau berkata, melalui Belanjawan 2024 kerajaan wajar memperluaskan kadar pembiayaan penuh 100% pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada semua pelajar dalam kategori M40.
Katanya, berdasarkan dasar semasa, pelajar dari keluarga M40 hanya ditawarkan pembiayaan pada kadar 75% dan ia memberi tekanan kewangan kepada ibu bapa dalam kelompok pendapatan berkenaan.
"Pembiayaan penuh misalnya RM4,000 untuk satu semester bagi pengajian peringkat diploma kepada pelajar dalam kelompok keluarga M40, sama seperti dinikmati pelajar dari keluarga B40 bukan sahaja meringankan bebanan ibu bapa tetapi pada masa sama, menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan akses lepasan sekolah ke pendidikan tinggi," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut Amir Hamzah, bagi tujuan sama, kerajaan juga wajar menimbang untuk menawarkan pinjaman pendidikan MARA kepada ribuan pelajar Bumiputera berkelayakan yang menuntut di IPTS berstatus cemerlang (MyQUEST 2022–Berdaya Saing) yang menawarkan program-program pengajian peringkat diploma dalam kategori kritikal.
"Berdasarkan statistik semasa dan pengalaman lepas, pelajar Bumiputera dari keluarga B40 dan M40 dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia sederhana lebih cenderung mengikuti program diploma kerana tempoh pembelajaran yang singkat dangraduan dalam bidang-bidang kritikal berkenaan lebih menjadi pilihan industri dan mudah mendapat pekerjaan selepas bergraduat," katanya.

Pada masa sama katanya, PKIBM turut mengesa kerajaan memperluaskan inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk mahasiswa universiti awam bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kepada pelajar yang sedang menuntut di IPTS.
"Ketika ini, hanya mahasiswa di universiti awam, pelajar politeknik, kolej komuniti, pelajar matrikulasi serta institut pendidikan guru ditawarkan bantuan subsidi berkenaan. Kesamarataan hak dalam kalangan pelajar IPT tanpa membezakan IPT awam atau swasta di negara ini wajar diberikan perhatian," katanya.
Dalam pada itu katanya, kerajaan juga wajar mengiktiraf sumbangan sektor pendidikan tinggi swasta negara yang sebelum ini tidak pernah menerima suntikan dan insentif kewangan secara langsung daripada kerajaan berbanding sektor utama seperti perindustrian dan pelancongan.
"Walaupun sektor pendidikan tinggi swasta telah diakui sebagai industri strategik negara kerana menyumbang RM31.5 bilion kepada pendapatan dan ekonomi negara, IPTS hakikatnya berdiri sendiri termasuk perbelanjaan pembangunan serta mengurus dan sebahagian besar institusi hanya bergantung kepada yuran pelajar yang mendaftar.
"Penurunan mendadak kadar kemasukan pelajar baharu sejak dua tahun kebelakangan ini secara relatifnya, telah menjejaskan aliran tunai institusi yang terlibat," katanya.
Amir Hamzah berkata, melalui Belanjawan 2024, kerajaan diminta menawarkan skim pembiayaan mudah kepada khususnya IPTS Bumiputera yang berkelayakan yang masih terkesan dengan pelbagai ketidaktentuan pasca-pandemik COVID-19 sebelum ini.
"Pembiayaan seumpama pernah diperkenalkan sebelum ini menerusi Skim Pembiayaan Mudah Jaya di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (SPiM PENJANA) yang ditawarkan oleh MARA dengan jumlah maksimum RM5 juta dan ia nyata telah membantu banyak IPTS Bumiputera," katanya.
Bagi meningkatkan keupayaan proses proses pengajaran, meningkatkan infrastruktur dan kemudanan internet di kampus dan pusat pembelajaran, kerajaan juga perlu memperkenalkan Insentif Pelan Digitalisasi IPTS.
"Perlaksanaan insentif ini akan melonjakkan keupayaan IPTS mempertingkatkan kualiti kandungan pengajaran, prasarana internet, membudayakan pengajaran dan pembelajaran secara digital sekali gus menjadikan IPTS lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa dan memberi peluang institusi menjana semula pendapatan yang merosot teruk sebelum ini,” katanya. - DagangNews.com

![[VIDEO] Belanjawan 2024: Kerajaan digesa beri tumpuan nasib lebih 500,000 pelajar tempatan di IPTS - PKIBM](https://cdn.newswav.com/img/topic/world.jpeg)
